Kawan Baru di Oman

Alhamdulillah, semalam, selepas pulang daripada rumah terbuka seorang kawan berdekatan Qurum Natural Park, kami sempat singgah berehat di taman tersebut.

Biasanya kami menghabiskan hari minggu berehat di tepi pantai sambil berenang dan menyelam. Itu saja yang dapat kami lakukan sebagai anak rantau, untuk menenangkan fikiran.

Alhamdulillah raya kali ini, program hujung minggu kami terisi dengan jemputan rumah terbuka, satu perubahan baru dalam kehidupan kami di sini. Sekurang-kurangnya ada jalan dibuka kepada kami mengenali orang Malaysia lain di sini.

Namun bagi saya, walaupun kurang bergaul dengan warga senegara, kehidupan kami tetap meriah dengan ukhwah yang dijalinkan dengan dengan warga lain seperti Sudan, Mesir, Oman, India, Pakistan dan lain-lain.

Sedang kami berehat menunggu anak-anak bermain, tiba-tiba mereka datang memberitahu bahawa mereka terjumpa kanak-kanak bercakap bahasa Melayu, 'orang Malaysia la tu' kata si kakak. Saya kata 'mungkin Indonesia atau Brunei'. Begitulah anak-anak, selalu seronok bila terjumpa orang lain yang tahu bahasa Melayu.

Biasanya mereka mengkritik 'mengapa anak-anak orang Malaysia tidak tahu bercakap bahasa Melayu?', 'Susahlah nak berkawan, anak kawan umi tu tak tahu bahasa Melayu'. Kali ini mereka bertemu dengan budak-budak yang tahu berbahasa Melayu, boleh lah berkawan.

Rupa-rupanya ada sekeluarga orang Malaysia yang baru dua minggu tiba di Oman sedang berehat di sebelah satu lagi. Dan kamilah orang Malaysia pertama yang mereka temui di sini. Anak-anak mereka juga amat gembira bila mendengar ada budak lain bercakap bahasa Melayu di situ.

Seronoknya bila dapat bertemu orang yang mampu berbahasa ibunda kita, terutama daripada negara sendiri bila berada di negara orang. Itulah yang pernah saya rasai dulu,setelah enam bulan berada di Oman barulah kami berpeluang mengenali orang Malaysia lain.

Mungkin itulah kelemahan kedutaan di sini yang tidak terbuka dengan masalah ini, walaupun kita berdaftar dengan mereka. Entah wujud atau tidak biro perhubungan dalam persatuan orang Malaysia di Oman, hanya mereka yang terlibat mengetahuinya.

Terkenang pula kepada adik Muna dan ayahnya daripada Selatan Thailand yang datang melawat Oman Ramadhan lepas. Pertemuan pada pagi raya itu sangat menggembirakan beliau yang telah berada seminggu di Oman tanpa mengenali sesiapa. Alhamdulillah itulah juga titik perubahan dalam sambutan raya kami tahun ini.

Begitu juga setiap kali berkunjung ke kawasan pedalaman Oman, bahasa itulah yang menggembirakan hati pembantu-pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Oman. Itulah kehebatan bahasa Melayu, kita akan berani untuk menyapa sesiapa yang menuturkannya, seolah-olah mereka sebahagian daripada kita. Pembantu-pembantu rumah ini tanpa segan bercerita dengan saya walaupun dalam pertemuan yang amat singkat.

Itulah hebatnya bahasa kita, tanpa kita sedari bila berada jauh dari tanahair, bahasa itulah yang mendekatkan kita. Memang kita boleh berbahasa lain tapi ada satu perasaan lain yang timbul bila mendengar bahasa ibunda kita dituturkan.

Oleh itu jangan lupa 'bahasa jiwa bangsa', walaupun anak-anak kita mampu bertutur dalam bahasa lain, terapkanlah penggunaan bahasa sendiri agar mereka sentiasa ingat bangsa dan budaya mereka.

Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat