Teman-teman di Alam Maya

Friday, 30 March 2012

Masih Bermotivasi

"Allah hanya menguji insan-insan yang mampu menghadapinya." 
Itulah kata-kata penguat setiap kali diri ini diuji.

Ujian utama ialah bagaimana untuk mengurus masa yang begitu lapang, tanpa tekanan daripada luar. Ya lah bagi saya yang sudah bertahun-tahun hidup dalam tekanan kesibukan, ketenangan adalah ujian yang amat besar.

Alhamdulillah...berkat ilmu dan latihan yang diperolehi semasa belajar, saya masih bermotivasi untuk meneruskan perjuangan walaupun masih belum bertemu dengan insan-insan yang sefikrah.

Kadang-kadang hati memberontak, mengapalah aku terlontar begitu jauh disini, tanpa teman-teman apalagi sanak-saudara, semuanya mesti bermula daripada asas, iaitu ukhwah islamiyyah.

Namun begitu, amat sukar untuk bertemu dengan insan yang memiliki fikrah perjuangan seperti cara saya dididik di UIAM.

Jika bertemu dengan insan yang berakhlak baik, mereka tidak mempunyai fikrah untuk berjuang, kehidupan mereka hanyalah untuk diri dan keluarga mereka sahaja.

Moga Allah menemukan saya dengan insan-insan yang gigih berjuang untuk sama-sama menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah dialam ini.

Moga Allah meneguhkan hati ini untuk terus berjuang....untuk mendapat keredhaan-Nya.

Tuesday, 14 February 2012

Tazkirah buat Diri...

Setakat mana kita berusaha untuk membaiki diri kita ke arah yang lebih baik?
Setakat mana kita berusaha untuk membantu insan-insan disisi kita ke arah kejayaan?
Setakat mana keyakinan kita dengan pilihan kita sehari-hari?
Apakah kita meletakkan diri kita kedalam kelompok insan-insan yang berjaya?

Setakat mana pula kita berusaha meninggalkan sifat-sifat negatif kita?
Setakat mana pula kita berusaha memupuk sifat-sifat positif?
Muhasabah diri ke arah yang lebih baik, untuk kejayaan didunia dan diakhirat.

Sebaik-baik usaha kita ke arah kejayaan ialah dengan meninggalkan segala sifat-sifat negatif, menghiasi diri dengan sifat-sifat positif...ketika itu Allah akan membuka kelebihan-kelebihan yang ada dalam diri kita. Maka berusahalah untuk menpraktikkan segala kelebihan yang dikurniakan oleh Allah swt kepada kita.
Moga kita berjaya didunia dan diakhirat.

Thursday, 5 January 2012

Moga Termotivasi

Alhamdulillah perjalanan hidup diteruskan dalam episod seterusnya, bermula dengan tahun baru sama ada hijrah atau masihi. Ia hanyalah perkiraan tarikh, apa yang penting kita masih bersemangat untuk meneruskan kehidupan kita.

Apakah perjalanan episod hidup anda pada tahun lepas menggembirakan hati anda? Ataupun ia hanyalah episod biasa-biasa sepertimana tahun-tahun sebelumnya?

Bagi saya 2011 meninggalkan kesan yang begitu besar dalam diri saya. Begitu besar dugaan dan ujian yang disediakan oleh-Nya selama tempoh tersebut. Alhamdulillah saya masih mampu menghadapinya, moga Allah memberi kekuatan semangat buat diri ini.

2011...satu nombor yang bertahun-tahun tercatat dalam imaginasi ini, hinggakan saya tertanya-tanya apakah yang ada pada 2011?

Kini setelah 2011 berlalu, barulah saya tahu jawapan kepada semua persoalan selama ini. Alhamdulillah 'ala kulli hal. Saya terasa seolah-olah rahsia tersebut telah dibuka, dan saya telah selesai menjalaninya...Alhamdulillah.

Namun begitu tahun baru ini dibuka dengan pelbagai kejutan, moga saya lebih bersedia untuk menghadapi kehidupan seterusnya.

Apa yang penting, pastikan kita sentiasa mempunyai motivasi yang tinggi untuk menjalani kehidupan kita, terutamanya dalam menjalankan tugas kita sebagai surirumah.





Thursday, 8 December 2011

Surirumah dan Keinginan Hati

Alhamdulillah setiap hari bekerja saya dapat meluangkan masa untuk berjalan-jalan dengan jiran, setelah anak-anak ke sekolah dan suami keluar bekerja.

Jadi setiap hari saya dapat mempraktikkan bercakap Arab, alhamdulillah jiran ini begitu memahami bahawa saya tidak mampu berbahasa ammi, jadi beliau cuba sedaya-upaya menggunakan bahasa Arab formal.

Macam-macam idea dikongsikan setiap pagi, daripada isu politik, sosial, keluarga dan hal-ehwal rumahtangga.

Satu isu yang amat bermakna buat saya ialah mengenai surirumah dan keinginan hati.

Alhamdulillah saya amat berbangga menjadi wanita Malaysia, kerana kita berpeluang melakukan banyak urusan dalam hidup kita walaupun setelah berumahtangga.

Apa yang pasti, kita masih mampu bergerak bebas kesana-sini, masih mampu mempraktikkan apa-apa saja keinginan hati kita tanpa perlu melalui kata-kata negatif insan disekeliling kita.

Corak kehidupan surirumah Malaysia amat berbeza daripada surirumah Arab, yang mana kita masih mampu meneruskan apa saja minat kita, walaupun kita sudah berumahtangga.

Itulah sebab utama saya suka bergaul dengan surirumah Malaysia disini, banyak motivasi tidak langsung yang dapat saya perolehi setiap kali bersembang dengan mereka.

Ini amat berbeza apabila berada bersama-sama surirumah Arab, saya rasakan tahap motivasi saya menurun setiap kali berada bersama-sama mereka.

Ini kerana surirumah Arab dididik untuk berserah sepenuhnya kepada suami, iaitu setelah berkahwin mereka mestilah melupakan segala keinginan hati mereka, apa yang penting ialah kegembiraan suami dan anak-anak mereka.

Pada mulanya saya berusaha untuk mengikuti cara mereka, yang mana saya rasakan itulah corak hidup wanita muslimah. Akan tetapi saya dapati bahawa saya masih belum mampu melupakan keinginan hati saya untuk terus berbakti kepada masyarakat disekeliling saya.

Bagi saya, walaupun sudah berkahwin wanita mestilah diberi peluang untuk membangunkan diri mereka, agar mereka mampu menjadi contoh kepada anak-anak mereka.

Jika wanita melupakan segala keinginan untuk berbakti dan hidup bermasyarakat, mana mungkin wanita tersebut mampu mengekalkan kegembiraan hati mereka. Apakah wanita yang tertekan jiwa mereka mampu meneruskan hidup mereka dengan ceria?

Sempena awal Muharram lalu, saya mula mengurangkan bergaul dengan wanita-wanita Arab, dalam usaha mengembalikan tahap motivasi yang tinggi, serta kembali menjadi diri saya yang dulu.

Saya tidak ingin terus-menerus berada dalam situasi yang jauh berbeza daripada keinginan hati saya.

Moga Allah memudahkan segala niat murni ini, serta membuka jalan baru untuk saya menabur bakti kepada insan-insan lain disekeliling saya.




Monday, 28 November 2011

Doa Melembutkan Hati Suami

Perjalanan hidup berumahtangga tidaklah selalu manis, kadang-kadang kita terpaksa menempuh pelbagai ujian semasa mengharungi hidup bersama-sama.

Apa yang pasti, jika kita menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Allah, Dia akan menunjukkan jalan terbaik untuk kita selesaikan masalah tersebut.

Setiap orang memiliki perangai dan ragam sendiri yang begitu sukar untuk difahami, kadang-kadang membawa kepada perselisihan yang berpanjangan. Ketika itu salah seorang mestilah mengalah, untuk menyelamatkan suasana.

Semasa saya mengikuti kelas perubatan Islam dengan ustaz Ismail Kamus dua tahun lepas, ada diberitahu tentang doa-doa yang boleh dibaca untuk melembutkan hati suami dan insan-insan lain yang keras hatinya.

Ada berbagai ayat yang diajar, tetapi ayat yang melekat dihati saya adalah ayat akhir surah Ali Imran 
يا أيها الذين آمنوا اصبروا وصابروا ورابطوا واتقوا الله لعلكم تفلحون
 
yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan ikatlah ikatan yang kuat dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung"

Ini kerana ayat yang sama juga diajarkan oleh kakak saya ketika saya mengadu kepada beliau agar mendoakan  rumahtangga kami ketika beliau menunaikan haji, ketika itu beliau berada dihadapan kaabah. Jawapannya adalah amalankanlah doa pelembut hati untuk mengikat kasih suami isteri. 

Jadi setiap kali merasa tertekan dengan perangai suami, doa itulah pelembut hati saya, setiap kali membacanya hati sendiri menjadi lembut, terasa ingin bersabar dengan ujian yang ditempuhi agar tergolong ke dalam golongan orang-orang yang berjaya.

Sebenarnya kitalah yang mesti bersabar, apabila kita mampu bersabar orang yang kita doakan juga akan menjadi lembut hatinya.

Fahamilah dan dalamilah maksud ayat yang kita bacakan tersebut, jika itulah ayat yang kita ulang-ulang, ia ibarat doa kita kepada Allah.

Moga Allah memberi kesabaran kepada kita, serta melembutkan hati-hati insan disekeliling kita...
Apa yang pasti betulkanlah diri kita dahulu sebelum membetulkan orang lain.