Bila Berbakat...Kembangkanlah...

Bismillah...
Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana mendapat kekuatan untuk mencoret disini. Alhamdulillah akhirnya blog ini mampu dihidupkan kembali...

Saya minat untuk bercerita tentang bakat kerana ia begitu penting dalam kehidupan seorang insan. Apakah kita redha menjalani kehidupan sehari-hari melakukan perkara yang bukan terhasil daripada bakat kita?

Allah swt menjadikan setiap orang memiliki keistimewaan tersendiri. Kita mempunyai bakat tertentu sama ada kita sedari ataupun tidak. Itulah tujuan hidup kita.

Bila kita mengetahui apa sebenarnya kelebihan istimewa tersebut, kita akan terasa betapa berharganya kehidupan kita di alam ini. Ya, itulah suatu keistimewaan kita, tiada siapa mampu menidakkannya.

Syukurlah kepada sesiapa yang telah berjaya menemui kelebihan tersebut serta mengembangkannya, kerana ia begitu berharga melebihi wang ringgit dan segala harta didunia ini.

Bagi yang masih belum bertemu atau yang gagal menentukan mana satu keistimewaannya, anda masih berpeluang, dengan syarat anda tidak putus asa mencarinya.

Ramai orang berbakat tetapi tidak menyedari itulah keistimewaannya, cuba melupakannya, atau tidak berusaha mengembangkannya, itulah kegagalan yang tidak disedari dicipta oleh tuan punya bakat tersebut.

Saya masih ingat lagi beberapa orang rakan sekolah yang begitu berbakat dalam penulisan, tetapi sampai hari ini mereka masih belum menerbitkan apa-apa buku. Sayang sekali bakat tidak dikembangkan menjadi sumber rezeki.

Saya sendiri sebenarnya masih bertatih untuk memulakan kembali bakat lama yang ditinggalkan. Itulah kesilapan saya dalam mengejar ilmu. Saya meninggalkan segala bakat semulajadi kerana mengejar sesuatu yang lebih baik pada pandangan saya, sedangkan jika saya meneruskan bakat tersebut, ia adalah unsur yang dapat membantu menguatkan diri ini ketika terasa lemah.

Alhamdulillah saya menyedari itulah tag diri saya yang tidak dapat dipisahkan. Ini kerana bakat itulah ciri pertama kawan-kawan lama mengingati saya alhamdulillah.

Semua rakan-rakan sekolah yang begitu lama tak ditemui mengingati saya kerana bakat tersebut. "Ooo Aliza yang tulisan cantik tu", "Aliza yang pandai menulis khat", "Aliza yang khat cantik". Itulah pengenalan diri saya dikalangan rakan-rakan dan guru sekolah.

Bayangkan itulah ingatan rakan-rakan lama, senior, sebaya atau lebih muda daripada saya. Ini kerana sepanjang berada disekolah menengah, saya lah juara setiap kali pertandingan khat diadakan. Alhamdulillah pertemuan kembali dengan rakan-rakan lama dialam maya menyedarkan saya untuk kembali menghidupkan kebolehan tersebut.

Namun begitu saya terpaksa berperang dengan perasaan dan tanggapan orang luar kerana bakat ini bukanlah suatu bakat yang hebat dalam dunia hari ini. Sijil yang saya perolehi jauh lebih tinggi daripada bakat yang dimiliki.

Apakah saya perlu melupakan bakat dan anugerah Ilahi kepada saya? Itulah perasaan yang sentiasa berperang dalam diri saya setiap kali saya tekad untuk menghidupkan semula bakat diri ini.

Alhamdulillah Allah hantarkan saya ke sini, saya berpeluang meneliti kelebihan dan kekurangan diri ini. Bayangkan jika saya terus berada di tanahair, saya akan terus sibuk melakukan sesuatu yang bukan bakat semulajadi saya. Saya akan terus disibukkan dengan kajian-kajian yang tidak berkaitan dengan kebolehan diri. Akhirnya gagal beroleh kepuasan sejati.

Jika sebelum ini saya keliru, hari ini saya akan bangkit semula untuk menghidupkannya dengan cara yang tersusun. Pada saat manusia hanya menyentuh skrin, saya ingin berjuang mengajak anak-anak muda melakukan senaman jari, dengan menulis di atas kertas.

Moga Allah memberkati usaha kecil ini, serta memudahkan segala-galanya. Aamiin.







Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum