Musim Haji 1430H

Bersempena musim haji kali ini pelbagai program berkaitan ibadah haji disiarkan di TV setiap hari, menyebabkan banyak masa saya dihabiskan dihadapan TV. Memang terasa rugi jika terlepas menonton perbincangan haji yang hanya disiarkan setahun sekali.

Apabila mengikuti siaran ini setiap hari, hati ini makin sayu mengingatkan diri yang masih belum berpeluang menjejakkan kaki ke tanah suci sedangkan adik dan suaminya telah menunaikan ibadah ini dua tahun lepas. Manakala kakak pula sedang berada di Tanah Suci Makkah tahun ini 1430H.

Bukan kami tidak berkemampuan akan tetapi status merantau ini agak menyusahkan kami untuk mengatur perjalanan 'Rehlahtul Umr" ini. Mungkin kami tidak setabah kawan lain yang sanggup meninggalkan anak-anak kepada jiran yang boleh dipercayai demi menunaikan ibadah ini. Sesungguhnya mereka amat berani meninggalkan anak-anak ditangan orang lain, dinegara orang. Moga jihad mereka dirahmati oleh Allah swt serta mereka beroleh haji mabrur.

Memang terdapat pelbagai siaran haji yang memaparkan pelbagai kisah-kisah sejarah perjalanan umat Islam sedunia untuk menunaikan ibadah ini. Begitu juga perbincangan alim-ulama tentang perkara-perkara berkaitan ibadah ini. Sememangnya setiap kali musim ini tiba, kita bagai diseru ke sana, namun sebagai wanita, ternyata kita perlulah banyak bersabar terutama apabila ia berkaitan dengan muhrim.

Begitu juga kali ini pelbagai perbincangan yang berkaitan dengan negara-negara Asia Tengah disiarkan. Pelbagai kisah umat Islam disana disiarkan setiap hari, yang mana kita jarang mendengar cerita mereka, cerita kekuatan iman mereka berada di bawah kerajaan Soviet suatu ketika dulu. Ketika itu juga terasa bahawa hebatnya mereka, kerana masih mampu mendalami agama Islam walaupun dalam serba kesusahan.

Dalam pada itu, program setiap pagi ialah menonton siaran 'Khabar Haji' yang disiarkan oleh TV IQRA, peluang menonton program dalam bahasa Malaysia walaupun berada dibumi ini. Itulah rahmat Musim Haji tahun ini, sekurang-kurangnya boleh mengubat rindu kepada tanahair.

Masih banyak lagi program ilmu yang ditunggu-tunggu terutama bila bermulanya hari Tarwiah, dimana ibadah ini akan disiarkan secara langsung, bak kata pengacara tahun lepas, sekiranya kita menonton siaran ini kita akan dapat mempelajari ibadah ini secara tidak langsung.

Moga cita-cita dan harapan saya untuk melihat dan bersolat didepan Baitullah akan tercapai, bukan lagi mimpi yang datang dimalam hari setiap kali hati ini terasa rindu. Moga peluang untuk duduk berdoa dihadapan kaabah itu menjadi realiti. Amin.






Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat