Mesyuarat Ibu-ibu di Sekolah

Alhamdulillah malam tadi selesailah mesyuarat ibu-ibu di sekolah Zahratul Maarif, sekolah hero-hero saya belajar. Seperti biasa cara mereka amat jauh bezanya daripada kita, memang tiada protokol dalam setiap pertemuan, malah tidak ada ucapan-ucapan rasmi seperti yang biasa kita lihat di sekolah-sekolah di Malaysia. Namun begitu persatuan ibu-ibu tetap ada, walaupun hanya sekadar nama. Dah mungkin adat mereka.

Menurut kebiasaan mereka, pertemuan diadakan disebelah malam agar lebih ramai ibu-ibu dapat hadir ke sekolah, kerana ada orang yang boleh menghantar mereka. Tahun-tahun lepas tidak ramai yang hadir menyebabkan pihak pengurusan menyediakan hanya sedikit kerusi di tempat perjumpaan, tetapi malam tadi kehadiran amat ramai alhamdulillah. Kehadiran ibu-ibu yang agak ramai ini juga memeriahkan majlis ini, kerana dewan sentiasa bising setiap kali pihak pengurusan berhenti bercakap, malah mereka terpaksa mengetuk meja agar para hadirin diam. Itulah cara orang Arab, nak buat macammana.

Satu lagi kebiasaan mereka ialah tiada formaliti dan undian dibuat untuk memilih AJK Majlis Ibu-ibu. Biasanya mereka memudahkan cara dengan meminta sesiapa yang berminat untuk menjadi AJK mendaftarkan diri, begitu juga pengerusi Majlis Ibu-ibu pun dilantik daripada Ibu yang berminat untuk menjadi pengerusi.

Teringat ketika kali pertama menghadiri mesyuarat tiga tahun lepas, saya yang terbawa-bawa dengan cara kita di Malaysia bertanya tentang laporan program  yang dijalankan oleh AJK tahun lepas, malah meminta agar para Ibu dijelaskan tentang segala aktiviti. Namun jawapannya adalah negatif, kerana kewujudan persatuan tersebut hanya sekadar nama. Sayang sekali...bayangkan keadaan orang-orang Arab disini, begitulah gambaran kecil orang Arab kerana sekolah ini mempunyai jumlah pelajar asing yang agak ramai terutama daripada Mesir dan Sudan.

Pagi ini pula saya akan menghadiri perjumpaan ibu-ibu untuk sekolah anak perempuan saya, maka sekali lagi saya terpaksa memekakkan telinga menghadapi kebisingan ibu-ibu setiap kali perjumpaan diadakan. Apakan daya...lebih cakap tapi tiada usaha dibuat untuk mengubahnya.

Teringat juga leteran saya ketika mengajar part-time disebuah kolej agama disini, (memang sentiasa bising setiap kali saya berhenti bercakap): "sekiranya inilah sikap pelajar kolej yang bakal menjadi ibu, bayangkan bagaimana sikap anak-anak kamu nanti. Apakah kita ingin melihat sikap tidak menghormati orang yang bercakap didepan berterusan?" Namun begitu inilah adat mereka, kita terpaksalah menghadapinya dengan sabar.

Kemudian saya menyebut pula hadis "sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik-baik ataupun diam". Hanya sekadar ingin mengingatkan mereka bahawa, terlalu banyak bercakap boleh melemahkan diri kita.  Itulah cara ibu-ibu disini, mungkin juga pertemuan sebegini adalah peluang untuk mereka bercerita dan bertanya khabar sesama mereka, jadi terpaksa layanlah juga kebisingan itu.


Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat