Melayan Kerenah Anak-anak

Alhamdulillah sebagai surirumah sepenuh masa, kita berpeluang berada bersama dengan anak-anak serta memenuhi keinginan mereka. Memang ia memerlukan kesabaran terutama untuk memenuhi keinginan setiap orang serta mendisiplinkan mereka.

Anak-anak saya kini berada pada peringkat umur yang amat memerlukan perhatian, terutama untuk memupuk kekuatan semangat, serta minat mengkaji dan berfikir. Alhamdulillah mereka semakin berani meluahkan isihati masing-masing serta berlumba untuk menghasilkan kerja yang baik.

Namun begitu setiap hari mereka mencuba pelbagai percubaan baru (disebabkan menonton "alif ba ulum") sebaik saja pulang daripada sekolah. Habis lah gula, garam, cuka, tepung penaik, pewarna serta pelbagai bahan lain digunakan setiap kali mencuba, ada yang menjadi, ada yang tidak. Memang terlihat kegembiraan yang tidak dapat digambarkan setiap kali melihat percubaan mereka berjaya. Begitulah anak-anak...layan sajalah kerenah mereka.

Mungkin saya bukanlah guru homeschool yang pakar, saya cuma mampu menjadi sebagai fasilitator mereka, namun saya tetap berdoa agar mereka lebih berminat untuk membuat setiap aktiviti mengikut kehendak hati mereka.

Situasi paling menyeronokkan ialah apabila melihat mereka berenang dan menyelam dibelakang bapa mereka ditengah laut, semata-mata ingin melihat penyu berenang. Bimbang ada risaupun ada tapi saya tidak mahu menyekat keinginan mereka, biarlah mereka belajar menjadi insan yang berani. Dalam umur 8 dan 10 tahun, peluang melihat ikan besar dan penyu ditengah laut akan menjadi kenangan mereka sehingga dewasa. Alhamdulillah kedua-dua mereka berpeluang melihat penyu berenang, manakala dua orang lagi gagal kerana bila tiba giliran mereka masuk ke tengah laut, penyu telah berenang ke tempat lain.

Begitu juga percubaan mereka membuat buaian semasa bercuti dikampung, beberapa hari dihabiskan untuk memotong kayu tempat duduk buaian menggunakan gergaji, kemudian dicat, akhirnya tukang rumah Tok Ayah mereka kesian dan membantu mereka menebuk lubang dipenjuru kayu tersebut. Hasilnya mereka berjaya menyiapkan satu buaian yang agak elok dan diikat dihadapan rumah nenek mereka. Hari ini mereka masih bertanya tentang buaian mereka. Satu hasil kerja berkumpulan yang boleh menjadi kenangan mereka.

Masalahnya bila menonton sesuatu program di TV mereka akan meminta untuk membuat seperti itu. Semasa dikampung mereka berpeluang menonton cerita Upin Ipin main "Upih Pinang", maka mereka meminta permainan yang sama, terpaksalah Tok Ayah dan nenek mereka carikan upih pinang dari kebun yang agak jauh daripada rumah. Alhamdulillah mereka berpeluang untuk bermain upih pinang dengan riang dan gembira.

Buat masa sekarang mereka sibuk dengan aktiviti percubaan menanam menggunakan kapas, maka beranda rumah kami penuh dengan cawan plastik yang diletakkan kapas dan biji kacang. Alhamdulillah separuhnya sudah mengeluarkan daun kedua dan terus membesar. Malangnya hasil kerja umi yang terbaik walaupun tanpa penjagaan..."umi tak jagapun 'nabtah' (anak pokok) dia tapi besar je..." Itulah keluh mereka.

Begitulah anak-anak, kenalah rajin melayan kerenah mereka yang baik...moga ia menjadi pemangkin kekuatan berfikir dan semangat ingin mencuba.



Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Bila Berbakat...Kembangkanlah...