Menyayangi Diri Sendiri?

Menyukai diri sendiri, menyayangi diri sendiri....apakah kita akan dianggap mementingkan diri sendiri hanya kerana kita menyukai diri kita?

Apa yang kita perlu faham ialah menyayangi diri sendiri bukan bermakna mementingkan diri sendiri tanpa mengendahkan orang lain disekeliling kita. Ia amat penting bagi kita untuk memastikan perjalanan hidup kita sentiasa berada di jalan yang benar.

Mengapa kita perlu menyukai diri sendiri?

Jika kita lihat bagaimana kita melayan sahabat kita atau orang lain, layanan istimewa penuh tertib, begitulah juga layanan yang sepatutnya kita berikan kepada diri sendiri atau lebih baik lagi .
Menjadi kawan baik kepada diri sendiri bukan bermakna mementingkan diri.

Cuba ambil satu situasi dan soal diri, "Apakah yang akan aku lakukan kepada kawan sekiranya dia berada ditempatku ketika ini? Berdasarkan jawapan itu, "apakah kita mampu melakukan perkara yang sama kepada diri sendiri?"

Apabila kita membandingkan bagaimana kita melayan diri sendiri dan kawan kita, amat mudah untuk kita membuat kesimpulan "sejauhmana kita telah menjadi kawan diri sendiri". Ini kerana segala kegembiraan kita bergantung kepada sejauhmana baiknya hubungan kita dengan diri sendiri, malah nilai diri dan tahap keyakinan diri juga bergantung kepadanya.

Ini bersesuaian dengan hadis yang bermaksud:
"Sesungguhnya kepada Allah ada tanggungjawabmu, kepada dirimu ada tanggungjawabnya.....maka berikanlah kepada setiap yang berhak akan haknya".  

Islam telah menggariskan pelbagai perkara yang perlu kita dilakukan sebagai tanda kita menyayangi diri sendiri, antaranya "jangan membawa diri kepada kebinasaan" serta pelbagai perkara lain. Di samping itu kita disuruh melakukan amal ibadat sebagai hadiah kepada diri, kerana segala amalan tersebut membantu memberi ketenangan kepada kita.

Jadi, kita bukan sahaja akan lebih ceria apabila kita mempercayai diri untuk menjadi kawan, tetapi ia akan memudahkan kita untuk berbuat baik dengan orang lain disekeliling kita. Malah ia akan memudahkan kita untuk mengenalpasti kebaikan orang lain kepada kita.

Maka jadilah kawan baik diri sendiri untuk kebahagiaan berpanjangan didunia dan diakhirat.

Bila kita menghayati hadis berikut: "Tidak beriman seseorang Muslim selagi dia tidak menyayangi saudaranya sebagaimana dia menyayangi diri sendiri", kita dapat memahami bahawa orang yang tidak menyayangi diri sendiri tidak akan menyayangi orang lain.

Namun begitu berhati-hatilah agar ia tidak menjadi sifat mementingkan diri kerana ia adalah penyakit hati. Kita menyayangi diri sendiri sebagai jalan untuk menguatkan hubungan dengan orang-orang disekeliling kita.

Sebagai surirumah, kita perlu mengambilberat tentang diri sendiri kerana kitalah sumber ketenangan rumahtangga kita. Jika kita abaikan diri sendiri, kita akan menyusahkan suami dan anak-anak kita. Oleh itu pastikan kita menyayangi diri sendiri, menjadi kawan kepada diri sendiri sebelum menyayangi orang lain.

Moga kita sentiasa beroleh ketenangan dalam segala usaha kita. Amin.





Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat