Kesihatan Keluarga di tangan Surirumah- 1

Alhamdulillah kali ini kita berkongsi pendapat tentang 'kesihatan keluarga di tangan surirumah', terima kasih kepada ukhti yang memberikan idea. Moga kita dapat sama-sama fikirkan dan memberikan yang terbaik untuk keluarga kita.

Pernahkah kita terfikir betapa besar jasa air tangan surirumah dalam membentuk keluarga yang sihat? Surirumah yang mengetahui tentangnya akan terasa bersalah jika menghidangkan makanan yang boleh memberikan kesan negatif kepada ahli keluarga mereka kemudian hari.

Masalah kesihatan tidak akan datang serta-merta tetapi memerlukan masa bertahun-tahun, yang mana bila anak-anak kita meningkat dewasa tahap ketahanan tubuh mereka sudah lemah. Ketika itu pelbagai penyakit yang tidak diundang, akan dikesan. Puncanya dimana?

Jika kita perhatikan cara ibu-ibu kita dahulu menyediakan makanan, semuanya daripada sumber yang bersih dan segar tanpa penambah perisa, tetapi makanan yang disediakan tetap mempunyai citarasa yang sedap dan hebat.

Sedangkan kita hari ini menyediakan makanan yang boleh dianggap sampah kepada ahli keluarga kita. Jika kita analisa tentang makanan yang kita sediakan, banyaknya bahan-bahan yang tidak bermanfaat (tidak perlu) kita masukkan ke dalamnya.

Bila kita memasak kita memasukkan bahan-bahan yang kita tidak ketahui dari mana asalnya, bagi kita bahan tersebut dinyatakan didalam resepi, jadi kita mestilah menggunakannya. Inilah peringatan buat diri sendiri yang kadang-kadang terlepas pandang tentangnya.

Bila saya membaca buku "Al-Tibb Al-Nabawi" karya Iman Ibnu Jawzi, ada dinyatakan tentang penyakit-penyakit yang dihadapi oleh manusia, yang mana kebanyakannya berpunca daripada makanan. Beliau menceritakan bahawa makanan orang bandar banyak dicampuraduk, jadi jenis penyakit yang timbul juga adalah bercampuraduk, agak susah untuk mencari ubatnya.

Apa yang diceritakan oleh beliau adalah berpandukan keadaan sosial zaman beliau, sedangkan pada zaman kita ia sudah jauh melampaui apa yang dibincangkan oleh Imam Ibn Jawzi. Oleh sebab itu kita tidak perlu terkejut bila mendengar tentang pelbagai jenis penyakit pelik yang muncul pada zaman ini.

Masalahnya pemikiran kita sudah diisi dengan maklumat bahawa kita mestilah menghidangkan makanan yang hebat(pada pandangan mereka) untuk orang-orang yang kita sayang, biarpun kadang-kadang kita terpaksa memasukkan bahan-bahan yang ternyata tidak bermanfaat untuk mereka.

Bayangkan bila memasak kita memasukkan pelbagai perisa tambahan seperti sos tiram, sos tomato, kicap, ajinomoto, stok ayam dan lain-lain lagi, alasan kita adalah agar makanan yang kita masak terasa sedap. 

Kadang-kadang kita terlupa bahawa setiap bahan asas yang kita masukkan ada rasa yang tersendiri, ayam ada rasa sedap tersendiri, daging ada rasanya, udang ada rasanya, begitu juga bahan-bahan lain seperti buah tomato, bawang, bawang putih dan lain-lain. 

Sebenarnya kita tertipu oleh perspektif kita sendiri, yang menganggap bahawa bahan-bahan tambahan itulah yang memberi kesedapan kepada masakan kita, sedangkan rasa sedap yang sebenar terhasil daripada bahan-bahan asas yang kita gunakan. 

Saya masih teringat ketika ibu saya memasak, bahan-bahan yang tidak ditinggal ialah garam, gula dan asam, tetapi ia mempunyai citarasa yang amat hebat dan sedap. 

Lihatlah pula makanan tradisi kita, semuanya menggunakan bahan-bahan biasa tanpa bahan perisa tambahan tetapi ia begitu sedap untuk kita makan. Jika kita analisis lagi, ayam percik dengan garam, halia, bawang putih dan kunyit sahaja sudah begitu sedap rasanya, tanpa perlu bahan penambah perisa tambahan. 

Begitu juga buah tomato segar mempunyai aroma dan rasanya yang amat sedap, sudah cukup untuk membuatkan makanan yang kita masak terasa sedap. Cubalah masak buah tomato (dipotong) dan letakkan sedikit garam kunyit, serta rasakan kesedapan buah tersebut. 

Jadi bagi kita surirumah yang terpelajar, pastikan kita menyediakan makanan yang betul-betul baik untuk keluarga kita. Sepertimana yang selalu saya sebut 'janganlah kita menjadi penyebab masalah kesihatan ahli keluarga kita'. Bila anak-anak sakit kita juga bermasalah.  

Insya Allah akan bersambung lagi....sama-samalah kita fikirkan.

Comments

  1. Assalamualaikum Aliza,

    Terima kasih krn menjawab pertanyaan saya tempoh hari. Saya amat setuju dgn pendapat yg Aliza sarankan.Saya akan cuba tips2 yg diberi, insyaALLAH.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat