Masakan Ibu...

Sedapnya bila dapat memakan masakan ibu, walaupun masakan tersebut tidaklah sehebat makanan yang disediakan restoran-restoran terkemuka...masakan ibu akan sentiasa kekal dalam memori kita, tiada masakan lain sehebat masakan ibu kita.

Kadang-kadang terfikir juga apa sebabnya masakan ibu itu hebat dimata anak-anak?

Itulah realitinya yang selalu kita dengar dimana-mana, jarang didengar pula anak-anak yang tidak sukakan masakan ibu sendiri. Itulah hebatnya ibu dimata ahli keluarganya.

Ada orang cakap masakan ibu sedap kerana itulah makanan pertama yang kita makan serta kita memakannya setiap hari. Bila bertahun-tahun memakan makanan yang sama ia akan jadi begitu sedap serta kekal dalam memori kita.

Bila dihitung-hitung memang masakan ibulah yang selalu kita makan, daripada sarapan, makan tengahari, serta makan malam. Jika berkali-kali dimakan makanan dengan citarasa tersendiri, ia akan kekal dalam memori kita, dan tidak mampu dipadamkan oleh apa juga resepi hebat diluar rumah.

Masakan ibu ada citarasa tersendiri, ditambah dengan rasa kasih sayang ketika menyediakannya menjadikannya begitu sedap sehingga anak-anak makan berpinggan-pinggan walaupun hanya berlaukkan ikan goreng atau ikan bakar.

Namun begitu ibu-ibu hari ini kurang menyedari hakikat ini, serta merasakan mereka perlu memasukkan pelbagai perisa tambahan sebagai penyedap makanan yang dihidang untuk anak-anak.

Jika kita sudah terbiasa memasak makanan dengan menggunakan bahan perisa tambahan ataupun pes-pes segera yang ditambah msg dan sebagainya, pastinya kita akan terasa perbezaan rasa masakan kita tanpa bahan tersebut.

Bayangkan anak-anak yang dibesarkan dengan makanan sebegitu setiap hari, betapa banyaknya unsur-unsur yang tidak elok terkumpul didalam tubuh mereka selama mana mereka memakan masakan kita, ibu mereka.

Apakah kita sedar tentang kesan sampingan bahan-bahan penambah perisa tersebut? 

Anak-anak mempercayai kita, apa yang kita hidangkan itulah yang mereka makan. Jika kita menghidangkan makanan yang elok dan berkhasiat untuk mereka, baiklah kesan yang akan mereka perolehi. Begitu juga sebaliknya.

Suami kita juga yakin masakan kitalah yang terbaik serta bersih, jika dibandingkan dengan masakan diluar. Tetapi jika kita teliti bahan-bahan tambahan yang kita guna, apakah masakan kita menepati anggapan ahli keluarga kita? Apakah kita sanggup merosakkan kepercayaan tersebut dengan menghidangkan makanan yang tidak berkhasiat untuk mereka?

Semuanya terletak ditangan kita, jika kita benar-benar sayangkan mereka hidangkanlah makanan terbaik untuk mereka setiap masa.

Yakinlah apa yang kita masak adalah makanan terbaik untuk mereka, bukan sebaliknya.

Saya sentiasa ingat betapa ibu saya begitu tidak menyukai makanan yang dimasukkan msg, sehingga kini beliau memasak mengikut resepi beliau yang tersendiri, yang ternyata begitu sedap dan bersih untuk kami sekeluarga.

Moga kita juga mampu menyediakan makanan sebegitu buat ahli keluarga kita, insya Allah.



Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat