Memilih Makanan Keluarga

Surirumah terpelajar adalah surirumah yang bijak memilih apa yang terbaik untuk makanan keluarga mereka. Mereka lebih tahu apa yang baik untuk tubuh dan apa yang memudaratkan tubuh ahli keluarga mereka. Ini kerana mereka telah belajar bagaimana untuk mendapatkan maklumat serta menganalisanya.

Surirumah terpelajar adalah berbeza daripada surirumah yang hanya mengikut apa yang diiklankan didalam mediamassa. Ini kerana banyak iklan disediakan untuk menjual barangan mereka tanpa memikirkan kesannya kepada pengguna. Ketika ini ilmu yang dimiliki surirumah membantu mereka untuk memilih apa yang baik untuk orang-orang yang mereka sayangi.

Jadi dalam memilih makanan keluarga kita tidak boleh bergantung kepada iklan yang diwar-warkan diluar sana. Gunakanlah kebijaksanaan kita, sebagaimana kita bijak semasa belajar di sekolah dan universiti, kita juga bijak memilih makanan. 

Gunakanlah kebijaksanaan itu untuk membantu ahli keluarga kita (suami dan anak-anak) untuk kekal sihat dan bertenaga sepanjang hari.

Apa yang paling utama ialah pastikan makanan yang kita pilih adalah halal, serta selamat daripada unsur-unsur syubhah. Ini kerana makanan akan membentuk darah daging kita, jika kita memilih makanan yang ternyata suci, insya Allah ahli keluarga kita akan lembut hatinya.

Manakala makanan yang tidak jelas tahap halalnya, akan memberi kesan kepada hati. Jika hati keras maka kita juga yang terpaksa menanggung akibatnya. Moga Allah selamatkan kita dan keluarga kita daripada tipudaya peniaga hari ini yang memasukkan unsur-unsur tidak halal ke dalam makanan kita. 

Dalam masa yang sama, bagi surirumah sepenuh masa bersyukurlah kerana kita berpeluang untuk memilih makanan terbaik untuk keluarga kita, jika dibandingkan dengan surirumah bekerja yang kadang-kadang terpaksa menyediakan makanan cepat (paket dan separuh siap), ataupun kadang-kadang terpaksa makan diluar kerana tidak sempat memasak. 

Jika kita berpeluang untuk ke pasar-pasar, carilah bahan-bahan segar untuk keluarga kita, kerana bahan makanan yang segar mempunyai rasa yang berbeza daripada makanan yang lama. Sebagai contoh ikan yang segar mempunyai rasa manis yang berbeza daripada ikan yang disejukbekukan, begitu juga ayam segar mempunyai kemanisan tersendiri, yang boleh membantu menyedapkan masakan lain bila dicampurkan bersama-sama.

Kadang-kadang terasa beruntungnya orang yang mampu mendapatkan bahan masakan segar daripada ladang sendiri, yang mana tahap kebersihan memang terjaga. Namun begitu situasi hidup hari ini tidak memungkinkan kita menikmati keadaan itu lagi, jadi carilah cara yang lebih senang untuk kita.

Belajarlah juga mencipta resepi menggunakan bahan-bahan asli, tanpa perlu banyak bergantung kepada bahan penambah perisa.

Banyak juga resepi yang saya perolehi daripada makanan mediteranean, yang mana mereka tidak menggunakan bahan tambahan lain selain bahan asas seperti bawang, sayur dan daging atau ayam. Malah cara penyediaan juga agak mudah dan ringkas, serta rasanya sedap bak makanan tradisi kita yang ringkas seperti singgam, rebus dan bakar.

Jadi sebagai surirumah terpelajar, belajarlah memilih bahan makanan yang baik, kemudian mencipta resepi sendiri yang baik untuk keluarga kita, tidak semestinya kita terlalu bergantung kepada resepi orang lain tetapi jadilah diri kita.

Janganlah kita terlalu bergantung kepada resepi luar, tetapi cubalah memasak makanan sihat untuk kita dan keluarga kita, kemudian kita kongsikan resepi tersebut bersama-sama, agar suatu hari orang lain dapat sama-sama berkongsi resepi kita untuk hidup sihat.

Sebenarnya itulah juga yang diamalkan oleh nenek-moyang kita, hingga terhasilnya makanan tradisi turun-temurun.

Moga kita mampu menghasilkannya...




Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat