Laungan Fitrah

Alhamdulillah saya berkesempatan membaca buku "Saarahul Fitrah" (laungan fitrah) karya Mohammad Rashid Al-Uwaid. Beberapa isu yang disebut dalam buku tersebut mampu menguatkan motivasi bagi wanita yang berada dirumah.

Penulis sebenarnya menceritakan tentang wanita-wanita Barat yang telah kembali menerima konsep wanita berada dirumah. Ia bertujuan untuk membuka mata wanita-wanita Arab yang begitu ghairah dalam kerjaya diluar rumah, serta menyerahkan segala urusan rumahtangga kepada pembantu rumah.

Sememangnya fitrah wanita sayangkan keluarga, malah keluarga begitu bermakna dalam kehidupan kita, lebih-lebih lagi ketika usia meningkat. Peluang untuk sentiasa berada disamping anak-anak begitu bermakna bagi setiap wanita, malah peluang melihat perkembangan anak-anak itulah kepuasan hati kita.

Apalah maknanya jika kita berkahwin dan membina keluarga kemudian tidak sempat menunaikan bakti yang sepatutnya dicurahkan kepada suami dan anak-anak kerana kesibukan kita bekerja diluar rumah.

Masa kita lebih banyak kita habiskan untuk kerjaya kita, sedangkan tanggungjawab asasi kita berada dirumah, malah itulah perkara utama yang akan dipersoalkan di akhirat nanti.

Wanita adalah pengurus rumahtangga dan pendidikan anak-anak, sedangkan kita tertipu oleh perspektif sendiri dengan bekerja diluar rumah, tinggalkan anak-anak dalam penjagaan orang lain yang tidak memahami anak-anak kita.

Wanita yang berada dirumah sebenarnya mempunyai banyak kerja yang lebih penting, lebih besar, lebih bermanfaat daripada bekerja diluar rumah. Ini kerana tugasan merancang urusan rumahtangga amat penting untuk kebaikan masyarakat seluruhnya. Bila keluarga kita terancang dengan baik, akan baiklah masyarakat sekeliling kita seterusnya negara juga akan aman dan makmur.

Wanita yang dijadikan Allah sebagai tempat untuk suami beroleh ketenangan dan anak-anak boleh mendapat kasih sayang yang sepatutnya mereka terima sebagai insan.

Jika wanita itu sendiri sentiasa berkeluh-kesah, risau dengan pencapaian kerja diluar rumah, apakah beliau mampu memberikan sepenuh perhatian terhadap rumahtangga sendiri.

Jika wanita-wanita bukan Islam memikirkan tentang keinginan fitrah mereka, malah mula kembali untuk melaksanakan tugasan dirumah, apakah wanita Islam tidak mampu untuk kembali menilai diri dan kembali kepada fitrah seorang wanita.

Siapakah yang mampu mengambilalih tugas memberikan ketenangan kepada keluarga, menumpukan seluruh fikiran untuk pembangunan keluarga. Siapakah yang boleh mendidik anak-anak kita dengan pendidikan yang baik, jika bukan surirumah.

Jadi, tempat terbaik untuk wanita adalah berada dirumah terutama wanita-wanita terpelajar. Ini kerana rumahlah tempat yang paling sesuai untuk wanita-wanita terpelajar mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari selama ini.

Bayangkan urusan kebersihan rumahtangga, urusan kewangan rumahtangga, urusan pendidikan anak-anak, urusan kesihatan ahli rumah, urusan susun atur dalam rumah, penyusunan fail dan sebagainya boleh dipraktikkan mengikut citarasa sendiri tanpa perlu mendapat kelulusan orang luar.

Bagi surirumah, kuatkanlah diri untuk menghadapi cabaran dari luar yang memperkecil-kecilkan tugasan surirumah. Ingatlah jika surirumah mampu mengurus rumahtangga dengan baik, beliaulah pengurus yang hebat.

Moga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk melaksanakan tugas kita dengan penuh hikmah.




Comments

  1. saya sangat sukakan statement ini,terubat sedikit keresahan hati menjaga anak setiap masa, setiap hari..malah menjadi surirumah yang berkelulusan ijazah sering dipandang enteng oleh segelintir orang sekeliling.saya sangat sayangkan anak2 dan suami hingga berat hati nak mencari pekerjaan di luar

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat