Memasak dari Hati

Alhamdulillah hari ini saya teringin untuk berkongsi satu tip yang selalu saya gunakan ketika memasak makanan untuk keluarga.

Nak dikatakan pakar memasak mungkin tidak, tetapi saya telah dibiasakan memasak makanan keluarga semenjak darjah enam. Bermula dengan memasak menggunakan dapur kayu yang menggunakan kayu-kayu yang terpaksa dicari dalam belukar disekeliling rumah hinggalah menggunakan teknologi moden hari ini.

Alhamdulillah sepanjang tempoh tersebut banyak pengalaman yang telah saya kutip berkaitan memasak, malah sempat juga memasak menggunakan oven ciptaan sendiri (guna periuk yang diisi dengan pasir dan letakkan api diatas) ketika ingin menyiapkan biskut raya. Memang betul-betul tradisional lah.

Namun begitu ada tips yang amat senang untuk kita amalkan agar makanan yang kita masak sentiasa sedap bagi setiap orang yang memakannya.

Cubalah memasak dari hati, insya Allah makanan yang kita hasilkan akan terasa sedap. Ini kerana apabila hati kita ikhlas memasak dengan penuh kasih sayang, hasilnya pun akan menjadi elok. Malah cubalah tanya hati anda berapa sukatan barangan yang diperlukan ketika memasak.

Ikutlah rasa hati anda tersebut, terutama ketika ingin memasukkan garam, gula, dan lain-lain ke dalam makanan, insya Allah makanan akan menjadi secukup rasa dengan keinginan ahli keluarga kita. Teknik ini selalu saya gunakan ketika memasak, alhamdulillah saya tidak perlu merasa makanan berkali-kali, dan hasilnya amat memuaskan, terutama ketika bulan Ramadhan. 

Teringat pula ada satu siri kartun 'Ibnul Bar', yang mana bahan yang paling penting untuk menyediakan makanan yang ingin dihadiahkan kepada insan yang banyak berjasa kepada mereka adalah 'hati yang penuh kasih sayang'. Mereka bersusah-payah mencari bahan tersebut sedangkan ia adalah satu perasaan yang mesti wujud dalam hati mereka ketika memasak.

Kemudian kita juga boleh amalkan membaca surah al-quraisy sambil berdoa ketika memasak makanan untuk ramai tetamu, agar makanan yang disediakan mencukupi dan tidak berlebihan.

Jadi buat surirumah, mulakan memasak dari hati, dan dengarkanlah kata hati anda ketika ingin memasak, moga makanan yang dimasak memberi keberkatan kepada sesiapa yang memakannya.

Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat