Belajar Menyesuaikan Diri

Alhamdulillah sebagai surirumah, kita bertuah kerana mempunyai masa yang lebih berbanding wanita yang bekerja, namun begitu kita hendaklah pandai menyesuaikan diri kita sepanjang masa.

Apa yang saya maksudkan dengan menyesuaikan diri di sini? Pandai-pandailah menyesuaikan diri kita dengan alam sekeliling kita. Sebagai contoh wanita yang berpindah ke tempat lain, dia hendaklah pandai menyesuaikan diri dengan tempat baru tersebut.

Bila wanita yang baru berada dirumah, pandai-pandailah dia menyusun masa agar suasana baru tersebut tidak memberi tekanan kepadanya.

Bayangkan jika kita tidak berfikir untuk menyesuaikan diri kita dengan alam sekeliling kita, banyak masalah yang terpaksa kita tempuhi, kadang-kadang kita menyusahkan orang lain untuk membantu kita.

Dulu-dulu sewaktu baru berada di luar negeri kelahiran, saya tidak boleh berpisah daripada makanan kesukaan saya, iaitu keropok. Setiap kali balik kampung itulah barangan yang tidak akan saya lupa untuk dibawa ke tempat baru. Lama-kelamaan saya berfikir, apakah aku mesti berterusan berbuat begitu ataupun aku yang mengubah diriku?

Semakin lama berada di luar dan cuba menyesuaikan diri, alhamdulillah tiada lagi keinginan tersebut kecuali membawanya sebagai buah tangan kepada jiran tetangga sahaja. Akhirnya bila berada di sini saya belajar untuk membuatnya sendiri. Jadi saya tidak perlu memikirkan untuk membawa barangan tersebut lagi.

Namun begitu ramai surirumah yang tidak berfikir untuk menyesuaikan diri mereka dengan keadaan sekeliling bila berada diluar negara. Ramai yang membawa pelbagai barang makanan daripada negara kita seolah-olah kita tidak akan memperolehinya ditempat baru, malah mereka selalu mencari siapakah yang akan balik kampung semata-mata untuk mengirim barangan yang mereka perlukan.

Pernahkah kita berfikir untuk mengubah sikap tersebut dengan mengajar diri dan ahli keluarga kita memakan makanan baru yang kita cipta sendiri tanpa perlu bersusah-payah sebegitu? Itulah yang saya buat semenjak berada disini. Alhamdulillah banyak resepi baru yang berjaya dihasilkan dengan menggunakan teknik 'cuba dan rasa'. Alhamdulillah ramai kawan yang terpikat dengan resepi sebegitu.

Begitu juga bila menjengah ke alam fesyen remaja perempuan hari ini, terlalu susah untuk kita mendapatkan pakaian yang memenuhi tuntutan syariat disini. Ini kerana kebanyakan pakaian dimpot dari India dan China, jadi fesyen tersebut dicipta berdasarkan budaya mereka. Bagi wanita disini, mereka memakai abaya diluar, jadi apapun jenis pakaian didalam ia tidak memberi kesan kepada mereka.

Masalahnya anak-anak orang Arab lain seperti Mesir dan Sudan terbawa-bawa dengan fesyen tersebut kerana itu sahajalah fesyen pakaian yang dijual dikedai-kedai. Bagi saya penyelesaiannya ialah dengan menyediakan baju panjang di luar kepada anak perempuan saya, jadi dia bebas bermain diluar dengan fesyen tersendiri yang mula diminati oleh rakan-rakan beliau.

Begitu juga dari segi pergaulan, hari ini ramai orang yang tidak mengendahkan orang sebelah mereka seperti jiran tetangga, sedangkan itulah tuntutan agama kita. Fikirkan apabila Rasulullah saw menyuruh kita berbuat baik dengan jiran tetangga, kerana merekalah insan yang terdekat dengan kita.

Namun begitu ramai yang tidak mengendahkan jiran mereka, malah tidak mengambiltahu apa yang berlaku kepada mereka. Ramai yang lebih seronok menjemput rakan sekerja bila membuat sesuatu majlis daripada menjemput jiran sendiri.

Dalam dunia siber hari ini, kita semakin jauh daripada realiti kerana kita banyak menghabiskan masa bergaul dengan teman yang berada begitu jauh sedangkan kita tidak mengenal jiran sebelah rumah.

Itulah yang berlaku didunia akhir zaman ini, jadi cubalah menyesuaikan diri dengan alam sekeliling dan masyarakat kita sekarang. Janganlah kita terkurung dalam persepsi kita semata-mata.

Moga surirumah mampu menyesuaikan diri dengan jiran-jiran sekeliling, biarlah mereka mengenali anak-anak kita agar mereka mampu membantu kita dikala kesusahan, begitu juga kita mampu memberikan bantuan bila kita mengenali anak-anak jiran kita.

Itulah yang diajar kepada kita oleh kekasih kita Rasulullah saw. Moga kita mampu menghidupkan sunnah ini.
ما زال جبريل يوصيني بالجار حتى طننت أنه سيورثه
" Dan Jibril berterusan mewasiatkan kepadaku tentang jiran sehingga aku terasa seolah-olah mereka yang akan mewarisinya"

Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat