Cantikkah kita?

Apakah kecantikan sejati?

Hari ini ramai yang bercerita tentang kecantikan, malah di negara-negara Arab pembedahan kecantikan tersebar luas, malah di Iran pembedahan hidung dilakukan secara berleluasa kerana kos yang lebih murah.

Wanita tidak lagi segan silu melakukan pembedahan sebegini semata-mata untuk menjadi cantik, sedangkan bagi kita rupa paras orang Arab sudah amat cantik, tidak perlu diubah lagi.

Dalam satu forum di TV Saudi, wanita-wanita yang ditemuramah memberitahu bahawa sebab utama wanita melakukan pembedahan kecantikan kerana terpengaruh dengan pelbagai iklan yang disiarkan disana-sini. 

Dalam masyarakat kita pula disana sini wanita bercerita tentang 'maintain' tubuh badan. Alhamdulillah daripada muda hingga umur mencecah 40-an masih tidak berubah penampilan diri.

Inilah dunia wanita, kecantikan luaran amat penting hinggakan melakukan perbuatan yang dilarang dalam agama kita. Bila membaca majalah-majalah wanita, ruangan kecantikan dan mekap adalah ruangan yang mesti ada.

Malah bila meneliti majalah-majalah wanita di Oman dan UAE, sebahagian besar isi kandungannya adalah berkaitan dengan kecantikan. Begitu juga majalah wanita di negara kita.

Apakah kecantikan sejati seorang wanita? 

Kecantikan sejati seorang wanita tidak terletak kepada pakaian yang dipakai, bentuk badan yang dimiliki atau fesyen rambut yang dipilih. Akan tetapi kecantikan wanita terletak pada hati dan keimanannya, apakah dia sudah menunaikan segala tuntutan agama. Apakah dia mempunyai akhlak yang mulia dengan orang-orang disekelilingnya?  

Disamping itu, apa yang wanita fikirkan tentang dirinya itulah yang akan dia dapat. Ini kerana Allah swt menjadikan setiap manusia itu cantik dan ada kelebihan tersendiri. Mungkin ada kurang dimana-mana tetapi jika kekurangan itu diisi dengan perkara yang baik, akan lebih cantiklah penampilan wanita itu.

Malah jika dia meletakkan keimanan di tempat yang tertinggi, itulah kecantikan sejati seorang wanita. Namun tidak salah kita menghias diri kerana Rasulullah telah memberitahu kepada kita bahawa :
 "Sesungguhnya Allah itu cantik, serta menyukai kecantikan, dan suka melihat kesan nikmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya". 

Begitu juga doa yang selalu kita baca ketika melihat cermin :
اللهم كما حسنت خلقي فحسن خلقي
"Ya Allah cantikkanlah akhlakku sebagaimana Engkau cantikkan kejadianku.".

Doa tersebut merupakan akuan kita bahawa kita sebenarnya dijadikan cantik serba-serbinya.
Subhanallah rupa-rupanya kita telah diajar "affirmation" semenjak dahulu lagi sedangkan orang-orang barat baru menyebarkannya.



Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Bila Berbakat...Kembangkanlah...