Apa Bakat Saya?

Semasa pulang ke Malaysia tahun lepas, saya sempat membaca buku 'Apa Bakat Saya?" terbitan PTS. Namun begitu saya terlupa dimana saya letakkan buku tersebut, semestinya berada dikampung bersama-sama barangan lain yang saya tinggalkan.

Apakah tujuan saya membaca buku tersebut ketika umur sudah mencecah 40 tahun?
Apakah saya memerlukan motivasi daripada buku tersebut?

Sebenarnya saya ingin memahami apakah pendapat penulis mengenai "bakat", lebih-lebih lagi saya ingin mencungkil bakat anak-anak. Biarlah mereka hidup dengan bakat mereka, agar mereka lebih berjaya dalam hidup mereka.

Mengikut sistem pembelajaran disini, guru-guru suka mencungkil bakat pelajar, kemudian mereka diajar bagaimana untuk mengembangkan kebolehan tersebut. Alhamdulillah bakat anak-anak saya yang dikenalpasti oleh guru-guru sama dengan bakat yang kami telah kenalpasti dan kembangkan setakat ini.

Mungkin saya kurang mengambilberat tentang bakat diri sendiri, disebabkan kesibukan mengejar ilmu, malah sampai sekarang saya masih belum mampu menghidupkan kembali bakat lama yang ditinggalkan.

Kadang-kadang terfikir apa sangatlah yang aku boleh dapat daripada bakat tersebut? Kadang-kadang terfikir apakah aku membohongi diri sendiri dengan mengatakan bahawa bakat tersebut tidak mampu memberi apa-apa pada diri.

Bila saya kembali melihat pencapaian-pencapaian selama ini, sememangnya bakat tersebut amat membantu saya. Bakat itulah sumber kekuatan saya walaupun bidang yang saya ceburi bukanlah bersandarkan kepada bakat tersebut.

Saya boleh berjaya apabila saya menggunakan kesemua kebolehan yang ada pada diri saya selama ini. Sekarang saya yakin bahawa saya boleh terus berjaya sekiranya saya betul-betul menumpukan perhatian kepada bakat tersebut.

Saya bukanlah penulis kerana saya tidak pandai menggunakan ayat yang berbunga-bunga, malah saya bukanlah seorang pakar motivasi walaupun saya suka memotivasi orang lain.

Kebolehan saya adalah menulis khat, itulah bakat yang telah dicungkil oleh guru-guru saya semenjak sekolah rendah lagi. Bakat tersebut berjaya saya kembangkan lagi ketika berada di sekolah menengah dan universiti, tetapi bakat tersebut diabaikan bila memasuki alam pekerjaan.

Itulah kesilapan saya, itulah bakat yang perlu saya hidupkan balik jika saya ingin terus berjaya dalam hidup.
Itulah ubat kepada segala kekeliruan saya selama ini.

Sebenarnya apabila kita berada dirumah, kita berpeluang mengoreksi diri, mencari apakah 'bakat' kita selama ini. Kemudian kita boleh berusaha untuk memajukan diri kita berdasarkan bakat tersebut.

Jika kita adalah seorang pemimpin semasa kecil, bakat itulah yang seharusnya kita kembangkan kerana itulah fitrah kejadian kita. Sayangnya ramai diantara kita yang amat hebat dalam kepimpinan ketika kecil, tiba-tiba bakat tersebut hilang dan tidak digilap lagi, menyebabkan hati kita tidak terasa puas dengan apa yang kita lakukan. 

Begitu juga anak-anak kita, cuba kenalpasti bakat mereka semenjak kecil dan kembangkan bakat tersebut agar anak-anak kita juga mampu berjaya dalam hidup mereka.

Janganlah kita persia-siakan bakat mereka dengan merasakan bakat tersebut tidak mempunyai masa depan, tidak mampu memberi kehidupan hebat kepada mereka seperti pekerjaan lain.

Bila bakat tersebut dikembangkan, dia akan tahu apa halatuju yang akan dipilih, insya Allah akan berjaya dalam ertikata yang sebenarnya.











Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat