Bekerja atau Berada dirumah?

Ada seorang rakan bertanya kepada saya, mengapa saya memilih untuk berada dirumah sedangkan saya boleh memilih untuk bekerja diluar. Beliau berkata bahawa beliau teringin untuk mengetahuinya kerana beliau sendiri tidak sempat merasai pengalaman bekerja kerana berkahwin sejurus tamat belajar di universiti.

Bagi saya jawapannya terpulang kepada diri masing-masing, ada orang yang berasa seronok bekerja diluar serta mampu mengurus masa dan emosi mereka dengan baik, maka baiklah untuk mereka. Manakala ada segolongan lagi wanita yang lebih memilih untuk berada dirumah, kerana sayangkan anak-anak serta sanggup berkorban demi kebaikan anak-anak.

Apapun jawapannya, semuanya kembali kepada kekuatan kita serta kemampuan kita mengurus diri dan keluarga.

Bagi saya masa untuk berada lama bersama anak-anak amat singkat, dan peluang tersebut tidak akan berulang lagi. Ini kerana anak-anak kita cepat membesar, bila besar mereka akan meneruskan putaran hidup mereka pula, tinggallah kita tanpa sempat merasai kemanisan bersama anak-anak dalam ertikata yang sebenarnya.

Perasaan itu jugalah yang menghantui saya ketika bekerja diluar suatu ketika dulu. Kesibukan kita untuk menunaikan tuntutan kerja diluar dan didalam rumah menyebabkan kita tidak mempunyai masa berkualiti yang panjang bersama anak-anak.

Dalam masa yang sama perasaan kita lebih cepat tertekan, menyebabkan kita kurang sabar serta lebih mudah marah walaupun anak-anak cuma melakukan kesilapan kecil. Maka tangan kita juga lebih cepat hinggap ke tubuh kecil mereka, yang mana semua ini dapat diatasi jika kita berada dalam keadaan tenang.

Bagi saya sendiri, saya rasakan bahawa saya sudah mendapat segala impian saya hingga saat ini, jadi tidak rugi saya berkorban sedikit untuk melihat kejayaan anak-anak saya pula. Walaupun ia akan merugikan pencapaian diri sendiri, jika dibandingkan dengan kawan-kawan yang terus bekerja, tetapi inilah waktunya saya merasai kemanisan melihat kebolehan anak-anak.

Tidak dapat saya bayangkan betapa gembiranya bila melihat anak-anak membuat pameran hasil bakat mereka ketika berusia 8 dan 9 tahun, sedangkan saya cuma merasai ketika berumur 17 tahun. Begitu juga betapa seronok melihat anak-anak membuat tugasan mereka tanpa perlu dipaksa. Moga-moga mereka berjaya mengeluarkan segala potensi yang ada pada mereka. 

Teringat pula kisah "ana wa ikhwati" semalam, dimana ibu mereka terpaksa bekerja diluar untuk membantu menyelesaikan masalah kewangan keluarga mereka. Cerita dimana si ibu yang dah biasa berada dirumah tidak mampu membendung rasa bersalah kerana meninggalkan anak-anak pada jiran ketika beliau keluar bekerja, serta cerita guru salah seorang anak beliau juga menghadapi masalah yang sama. Inilah situasi wanita hari ini... bekerja atau berada dirumah?

  


Comments

  1. mengambil keputusan untuk berada di rumah memang sukar bagi saya.Lebih-lebih lagi , keputusan itu diambil dalam masa yang singkat tanpa berfikir panjang.Tapi, Alhamdulillah...sekarang saya lebih tenang berada di rumah daripada bekerja.Tak perlu lagi nak fikir mencari maid, semua urusan sendiri yang uruskan.Walaupun sedikit penat, tetapi kepuasan itu ada :)

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat