Apa Tujuan Allah letakkan kita disitu?

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana telah meletakkan kita berada dirumah, satu tempat yang dipandang rendah oleh wanita-wanita terpelajar masa kini.
 
Mengapa saya mengatakan begitu? Ini kerana status wanita berada dirumah adalah terlalu tidak berharga dimata insan-insan yang melihat kepada nikmat dunia semata-mata.
 
Bukan sekali, dua kali malah berkali-kali saya mendengar ucapan-ucapan...'mengapa duduk dirumah, mengapa tidak memohon kerja diluar yang sesuai dengan status', hinggakan ada yang menyatakan 'awak habis belajar sekolah menengah saja ke, pilih untuk berada dirumah'.
 
Ada pelbagai lagi ucapan-ucapan yang menyedihkan hati saya sekali dengar, tetapi menguatkan hati ini untuk mempertahankan status ini bila berkali-kali mendengar pertanyaan yang sama.
 
Bertahun-tahun saya mencari jawapan kepada pilihan ini, saya tahu Allah tidak meletakkan saya berada disini sia-sia...Ada satu misi yang mesti saya lakukan, yang jarang difikirkan oleh berjuta-juta surirumah diluar sana.
 
Alhamdulillah disini saya ditemukan dengan pelbagai golongan surirumah, pelbagai bangsa daripada pelbagai negara. Ada waktu kami sempat berbincang tentang pandangan kami terhadap kedudukan mulia yang ditetapkan oleh Pencipta kita kepada wanita.
 
Masih teringat kata-kata teman yang menyatakan sebenarnya kita dikurniakan hasil sebanyak apa yang kita kerjakan, jika kita sebagai surirumah kita hanya mendapat hasil kerja kita sebagai surirumah saja, sedangkan wanita yang bekerja diluar mendapat hasil daripada pelbagai sudut.
 
Beliau menambah lagi "Sebagai surirumah, kita melihat masa kita terlalu banyak, hinggakan wujud sikap menangguhkan kerja, hingga akhirnya ia menjadi beban kepada diri sendiri, sedangkan wanita bekerja diluar mampu melakukan pelbagai urusan, termasuklah urusan rumahtangga, itulah kelebihan mereka".
 
Apakah saya akan ada masa untuk duduk berkongsi pengalaman sebegini jika saya seorang pekerja diluar rumah? Jawapannya tentu sekali tidak. Oleh sebab itu saya bersyukur diatas kurniaan ini, serta cuba menggunakan peluang ini sebaik-baiknya in sha Allah.

Jika dulu, wanita dikongkong tidak boleh keluar, hari ini wanita bebas melakukan apa saja, hingga ramai yang kurang mengambilberat tentang hati dan perasaan ahli keluarga sendiri, apatah lagi insan disekeliling mereka.

Jika dulu wanita tidak berpelajaran tetapi mempunyai akhlak yang sangat tinggi serta begitu hebat mendidik, hari ini wanita berpelajaran tinggi tetapi masyarakat disekeliling mereka amat kurang berakhlak.
 
Mengapa semua ini terjadi? Ia kembali kepada peranan wanita dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, apakah kita sudah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan ini sebaik-baiknya ataupun kita hanya melakukannya sambil lewa?

Sama-samalah kita fikirkan, apakah sebenarnya tujuan Allah meletakkan kita dalam situasi kita hari ini? Apakah ia semata-mata untuk kepentingan diri ataupun ia mempunyai satu matlamat besar yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini.  
 
Apa yang saya pasti, surirumah mesti kuat, mesti ada perancangan dalam hidup, carilah idola agar kehidupan kita mampu diteruskan dengan baik dan tersusun.
 
Terkadang kita tidak mampu merancang sendirian, maka serahlah kepada Allah kerana DIA lah sebaik-baik perancang, dan redhalah dengan ketentuan perancangan-Nya.
 
Ingatlah...tidak pernah ada kerugian dalam setiap detik hidup kita, jika semuanya kita lakukan dengan ikhlas mengharapkan keredhaan-Nya.

Ingatlah juga... usaha kecil kita akan menjadi satu usaha yang begitu bermakna setelah dilakukan bertahun-tahun tanpa jemu.   

Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat