Lagi Mengenai Bakat...

Alhamdulillah seminggu sebelum raya saya dijemput oleh pihak pengurusan sekolah anak untuk berbincang mengenai program sekolah.

Pihak sekolah begitu mengambilberat tentang bakat pelajar serta ingin menganjurkan program pengukuhan bakat yang telah mereka cungkil.

Tugas saya ialah berkongsi tentang bakat saya dalam seni khat serta memberi sedikit-sebanyak tips mengenai cara menulis khat yang betul. Ia adalah program susulan kepada siri pertama yang saya kendalikan pada awal tahun ini.

Apakah bakat? Mengapa ia begitu penting dalam kehidupan kita? Apakah bakat tersebut lahir secara semulajadi ataupun ia perlu dicungkil? 

Semua persoalan tersebut tergantung menanti penjelasan yang tepat mengenainya. 
Apa yang pasti Allah mencipta manusia dengan keistimewaan tersendiri, yang mana ia punca kekuatan diri kita.

Jika kita dapat mengenalpasti keistimewaan tersebut serta berusaha mengukuhkannya, kita akan rasa tenang dan gembira.  

Akan tetapi hari ini tidak ramai yang sedar tentang bakat tersebut, kerana sistem pendidikan kita yang kurang menekankan tentang bakat.

 Apa yang kita tahu hanyalah belajar sukatan pelajaran yang sama, serta akhirnya memilih kerjaya yang dipandang hebat dalam masyarakat serta melupakan keinginan dalam diri.

Semasa perjumpaan tersebut saya sempat memberi pendapat tentang pemerhatian saya terhadap surirumah serta bakat, yang mana kebanyakan surirumah Arab kurang mengambilberat tentang bakat mereka.

Ini kerana setiap orang mempunyai bakat yang terpendam, bakat ini sepatutnya dikembangkan lagi ketika berada dirumah sebagai satu usaha mengisi masa lapang. Ia juga boleh menjadi sumber pendapatan sampingan surirumah jika betul caranya.

Sayangnya kebanyakan surirumah hanya menghabiskan masa setiap hari dengan kerja-kerja rutin dirumah serta menggunakan masa lapang mereka untuk perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan bakat mereka. 

Akhirnya surirumah akan menyalahkan pilihan untuk berada dirumah sebagai halangan dalam hidup mereka. Ataupun merasakan tiada pencapaian yang bermakna dalam hidup mereka sebagai surirumah.  

Apa yang penting berusahalah untuk mencari kemahiran yang berkaitan dengan minat kita, yang mana ia akan membantu mengukuhkan jatidiri kita sebagai surirumah sepenuh masa.

Jadikanlah peluang kita berada dirumah sebagai satu platform untuk mengembangkan bakat yang kita ada.

Dalam masa yang sama cubalah perhatikan bakat yang mampu dicungkil dalam diri anak-anak kita, agar suatu hati nanti mereka mampu hidup bersandarkan bakat semulajadi mereka. Fikir-fikirkanlah...

Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat