Doa Melembutkan Hati Suami

Perjalanan hidup berumahtangga tidaklah selalu manis, kadang-kadang kita terpaksa menempuh pelbagai ujian semasa mengharungi hidup bersama-sama.

Apa yang pasti, jika kita menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Allah, Dia akan menunjukkan jalan terbaik untuk kita selesaikan masalah tersebut.

Setiap orang memiliki perangai dan ragam sendiri yang begitu sukar untuk difahami, kadang-kadang membawa kepada perselisihan yang berpanjangan. Ketika itu salah seorang mestilah mengalah, untuk menyelamatkan suasana.

Semasa saya mengikuti kelas perubatan Islam dengan ustaz Ismail Kamus dua tahun lepas, ada diberitahu tentang doa-doa yang boleh dibaca untuk melembutkan hati suami dan insan-insan lain yang keras hatinya.

Ada berbagai ayat yang diajar, tetapi ayat yang melekat dihati saya adalah ayat akhir surah Ali Imran 
يا أيها الذين آمنوا اصبروا وصابروا ورابطوا واتقوا الله لعلكم تفلحون
 
yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan ikatlah ikatan yang kuat dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung"

Ini kerana ayat yang sama juga diajarkan oleh kakak saya ketika saya mengadu kepada beliau agar mendoakan  rumahtangga kami ketika beliau menunaikan haji, ketika itu beliau berada dihadapan kaabah. Jawapannya adalah amalankanlah doa pelembut hati untuk mengikat kasih suami isteri. 

Jadi setiap kali merasa tertekan dengan perangai suami, doa itulah pelembut hati saya, setiap kali membacanya hati sendiri menjadi lembut, terasa ingin bersabar dengan ujian yang ditempuhi agar tergolong ke dalam golongan orang-orang yang berjaya.

Sebenarnya kitalah yang mesti bersabar, apabila kita mampu bersabar orang yang kita doakan juga akan menjadi lembut hatinya.

Fahamilah dan dalamilah maksud ayat yang kita bacakan tersebut, jika itulah ayat yang kita ulang-ulang, ia ibarat doa kita kepada Allah.

Moga Allah memberi kesabaran kepada kita, serta melembutkan hati-hati insan disekeliling kita...
Apa yang pasti betulkanlah diri kita dahulu sebelum membetulkan orang lain. 

Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat