Mengapa berada di Rumah?
Bila kita bercerita tentang wanita, banyak isu perbincangan berkaitan dengan kerjaya, penglibatan wanita dalam kerja-kerja sosial dan politik serta pelbagai lagi isu.
Namun bila kita melihat senario yang berlaku sekarang ramai wanita terpelajar berada dirumah. Malah ramai wanita mula berfikir tentang bagaimana menjana pendapatan dari rumah. Apakah ini perjuangan baru wanita setelah letih berjuang menuntut persamaan hak di luar rumah?
Di negara-negara barat pula makin ramai ibu yang memilih 'homeschool', sebagai satu kebangkitan setelah kehancuran sosial berlaku dinegara mereka. Bila kita menjenguk di internet banyak kumpulan yang memperjuangkan konsep ini. Persoalannya mengapa ini berlaku?
Dalam masa yang sama apakah yang berlaku dalam negara-negara Islam? Ketika ramai wanita barat sudah kembali berada dirumah semula, wanita-wanita Islam berjuang untuk keluar bekerja. Kadang-kadang saya terfikir, mengapakah kita selalu ketinggalan? Apakah bekerja diluar itu lebih elok untuk wanita Islam?
Apakah umat Islam cuma meniru dan mengikut acuan yang dibentuk oleh orang barat tanpa memikirkan kesan dan akibatnya kepada masyarakat kita. Apakah kita cuma belajar berpandukan sejarah, bukan realiti sosial yang berlaku. Sepatutnya dalam era globalisasi ini, kita mampu mendapat maklumat dengan cepat, jadi kita boleh sama-sama bersaing dengan mereka, bukannya menjadi pengikut mereka.
Persoalannya mengapa berada dirumah?
Sebenarnya tidak salah kita bekerja di luar rumah apabila keadaan memerlukan kita berbuat sebegitu, bila mana kepakaran kita amat diperlukan. Dalam masa yang sama kita tahu bagaimana mengurus diri dan keluarga secara baik.
Teringat kisah beberapa orang kawan semasa di UIA, semuanya berketurunan Arab yang mengikut suami bertugas di Malaysia. Di negara kita, mereka mula sambung belajar yang mana ketika itu anak-anak mereka telahpun bersekolah, semangat dan cara mereka menjadi contoh untuk anak-anak mereka.
Akhirnya mereka berjaya menamatkan MA dan Phd dalam masa yang singkat, hubungan dengan anak-anak juga rapat. Ini kerana mereka sama-sama merasa kesusahan belajar, anak belajar, ibupun belajar. Mungkinkah itu cara terbaik untuk kita menghasilkan umat Islam yang hebat?
Bagi saya berada dirumah atau diluar rumah tidak menjadi masalah buat wanita yang faham kenapa beliau berbuat begitu. Ini kerana bila kita tahu apa yang kita buat, kita mampu menyusun jadual hidup kita dengan teratur, malah mampu menjadi contoh terbaik untuk anak-anak kita.
Jangan pula kita berada dirumah tapi dengan hati dan perasaan tertekan, walaupun mulut bercakap redha dengan pilihan kita, tapi jauh disudut hati kita tidak sanggup menerima kekurangan diri kita. Yalah apabila kita mendengar rakan-rakan lain mendapat kenaikan pangkat, menjadi pakar dalam satu-satu bidang, ketika itu hati akan berkata "ruginya aku berada disini".
Sesungguhnya apabila kita redha dengan keputusan kita, malah berusaha mencari peluang pembangunan diri, insya Allah kita akan beroleh sesuatu yang amat disukai oleh hati kita. Ketika itu kita akan bersyukur kerana kita mampu mendapat semua impian kita tanpa mengorbankan salah satu daripadanya.
Moga kita sentiasa redha berada dirumah, serta berusaha memantapkan diri agar boleh menjadi contoh kepada anak kita suatu hari nanti.
Comments
Post a Comment