Bersama Anak-anak 24 jam

Bismillah....

Apabila kita memilih untuk berada dirumah, maknanya kita bersedia untuk berada sepanjang masa bersama-sama anak-anak, dalam kata lain 24 jam, tujuh hari dalam seminggu.

Apakah kita bersedia secara emosi dan fizikal untuk menempuh pengalaman ini?
Apakah kita akan mampu bersabar sepanjang tempoh tersebut ataupun hari-hari dijalani dengan penuh ketegangan, kerana kurang mampu bersabar dengan kerenah anak-anak.

Bagi ibu-ibu yang bekerja, mereka mungkin menghadapi hari-hari sebegini ketika tibanya musim cuti sekolah. Namun begitu ramai ibu-ibu hari ini memilih untuk mendaftarkan anak-anak mereka ke kelas-kelas tertentu sepanjang musim cuti, demi memanfaatkan masa cuti anak-anak mereka.

Bayangkan ketika bekerja, kita cuma menghabiskan masa yang amat singkat dengan anak-anak, kerana masa kita banyak dihabiskan ditempat kerja, manakala anak-anak kita hantarkan ke pusat-pusat asuhan. Apabila balik ke rumah kita sibuk dengan urusan rumahtangga, makan malam kemudian waktu tidur anak-anak.

Mungkin ketika itu kita tidak merasai saat anak-anak meragam, anak-anak inginkan perhatian serta pelbagai lagi kerenah anak-anak yang tidak terkira.

Akan tetapi apabila kita membuat keputusan untuk berada dirumah, kita akan berada bersama-sama anak-anak kita sepanjang masa. Jika anak-anak agak besar mungkin kita kurang bermasalah, akan tetapi sekiranya anak-anak masih kecil serta lebih daripada seorang, ketika itulah kesabaran kita akan teruji.

Bayangkan jika kita sebagai ibu yang melahirkan anak-anak tersebut tidak mampu bersabar dengan kerenah anak-anak, apakah orang luar 'pengasuh' lebih mampu memahami anak-anak kita?

Bagi saya, inilah punca masalah anak-anak hari ini, mereka kurang diberi perhatian oleh keluarga sendiri kerana kesibukan ibubapa mencari rezeki untuk mereka. Oleh itu mereka menagih kasih diluar rumah, mereka cuba mendapatkan perhatian orang luar ketika umur mereka masih mentah.

Mungkin ada ibubapa yang terkejut apabila anak-anak mula bercakap tentang 'kekasih', sewaktu mereka masih disekolah rendah. Mengapa wujudnya perasaan sebegitu? Apakah ia fitrah anak-anak?

Kemudian cuba perhatikan pula anak-anak yang mendapat perhatian penuh daripada ibubapa mereka, apakah mereka juga berdepan masalah yang sama?. Anak-anak yang telah mendapat cukup perhatian dirumah, tidak akan berebut-rebut untuk mendapatkannya diluar, kerana emosi mereka telah kenyang semasa dirumah.

Bagi saya, anak-anak perlukan perhatian, mereka inginkan kata-kata mereka didengari, tetapi siapakah yang sanggup menjadi pendengar mereka? Apakah ibu-ibu masih sanggup menjadi pendengar setia dirumah setelah seharian sibuk melayan orang luar dipejabat?

Namun begitu, bagi ibu-ibu yang sepanjang masa berada dirumah juga mestilah belajar menjadi pendengar kepada anak-anak. Janganlah sekadar wujud secara fizikal dirumah tetapi hati dan perasaan berada ditempat lain, dengan kata lain tidak memberikan tumpuan kepada percakapan anak-anak.

Bersyukurlah kerana kita dapat bersama-sama anak-anak ketika mereka dalam tempoh membesar, kita dapat melihat perkembangan mereka setiap hari, suatu hari nanti kita dapat berkongsi pengalaman tersebut dengan mereka.

Bersyukurlah juga kerana dapat memantau sendiri sikap dan adab anak-anak kita, moga mereka dapat membesar dengan akhlak yang mulia, yang makin dilupakan dalam masyarakat kita hari ini.

Jadi, 24 jam bukanlah waktu yang lama untuk kita peruntukkan bagi insan yang tersayang, moga ia menjadi tali pengikat ketika kita tua nanti.

Moga Allah merapatkan hati-hati ahli keluarga kita serta mewujudkan perasaan mawaddah, rahmah dan sakinah sesama ahli keluarga kita. Amiin.

 

Comments

  1. Bahagianya kalau dapat jadi surirumah macam puan...Saya sehingga sekarang pun masih rasa terkilan kerana terpaksa meninggalkan anak dengan pengasuh (umur 3 tahun). InsyaAllah berazam untuk jadi WAHM dalam masa 2 tahun ni...

    ReplyDelete
  2. saya seorang surirumah namun sedih hati ni bila insan2 terdekat selalu memperlekeh2kan tugas saya sebagai surirumah :(

    ReplyDelete
  3. Terima kasih kerana berkongsi idea.Saya bakal menjadi surirumah sepenuh masa.Adakalanya saya bimbang, bolehkah saya menjadi isteri&ibu yang sempurna?Saya terpaksa meninggalkan kerjaya demi anak-anak yang masih kecil & sering sakit.Akhirnya,saya telah memilih untuk mengorbankan kerjaya saya untuk permata hati saya.Sila beri tunjuk ajar kerana saya merasakan kerjaya surirumah adalah lebih mencabar daripada kerjaya diluar sana.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih krn berkongsi article ni..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Bila Berbakat...Kembangkanlah...