Skip to main content

Bersama Anak-anak 24 jam

Bismillah....

Apabila kita memilih untuk berada dirumah, maknanya kita bersedia untuk berada sepanjang masa bersama-sama anak-anak, dalam kata lain 24 jam, tujuh hari dalam seminggu.

Apakah kita bersedia secara emosi dan fizikal untuk menempuh pengalaman ini?
Apakah kita akan mampu bersabar sepanjang tempoh tersebut ataupun hari-hari dijalani dengan penuh ketegangan, kerana kurang mampu bersabar dengan kerenah anak-anak.

Bagi ibu-ibu yang bekerja, mereka mungkin menghadapi hari-hari sebegini ketika tibanya musim cuti sekolah. Namun begitu ramai ibu-ibu hari ini memilih untuk mendaftarkan anak-anak mereka ke kelas-kelas tertentu sepanjang musim cuti, demi memanfaatkan masa cuti anak-anak mereka.

Bayangkan ketika bekerja, kita cuma menghabiskan masa yang amat singkat dengan anak-anak, kerana masa kita banyak dihabiskan ditempat kerja, manakala anak-anak kita hantarkan ke pusat-pusat asuhan. Apabila balik ke rumah kita sibuk dengan urusan rumahtangga, makan malam kemudian waktu tidur anak-anak.

Mungkin ketika itu kita tidak merasai saat anak-anak meragam, anak-anak inginkan perhatian serta pelbagai lagi kerenah anak-anak yang tidak terkira.

Akan tetapi apabila kita membuat keputusan untuk berada dirumah, kita akan berada bersama-sama anak-anak kita sepanjang masa. Jika anak-anak agak besar mungkin kita kurang bermasalah, akan tetapi sekiranya anak-anak masih kecil serta lebih daripada seorang, ketika itulah kesabaran kita akan teruji.

Bayangkan jika kita sebagai ibu yang melahirkan anak-anak tersebut tidak mampu bersabar dengan kerenah anak-anak, apakah orang luar 'pengasuh' lebih mampu memahami anak-anak kita?

Bagi saya, inilah punca masalah anak-anak hari ini, mereka kurang diberi perhatian oleh keluarga sendiri kerana kesibukan ibubapa mencari rezeki untuk mereka. Oleh itu mereka menagih kasih diluar rumah, mereka cuba mendapatkan perhatian orang luar ketika umur mereka masih mentah.

Mungkin ada ibubapa yang terkejut apabila anak-anak mula bercakap tentang 'kekasih', sewaktu mereka masih disekolah rendah. Mengapa wujudnya perasaan sebegitu? Apakah ia fitrah anak-anak?

Kemudian cuba perhatikan pula anak-anak yang mendapat perhatian penuh daripada ibubapa mereka, apakah mereka juga berdepan masalah yang sama?. Anak-anak yang telah mendapat cukup perhatian dirumah, tidak akan berebut-rebut untuk mendapatkannya diluar, kerana emosi mereka telah kenyang semasa dirumah.

Bagi saya, anak-anak perlukan perhatian, mereka inginkan kata-kata mereka didengari, tetapi siapakah yang sanggup menjadi pendengar mereka? Apakah ibu-ibu masih sanggup menjadi pendengar setia dirumah setelah seharian sibuk melayan orang luar dipejabat?

Namun begitu, bagi ibu-ibu yang sepanjang masa berada dirumah juga mestilah belajar menjadi pendengar kepada anak-anak. Janganlah sekadar wujud secara fizikal dirumah tetapi hati dan perasaan berada ditempat lain, dengan kata lain tidak memberikan tumpuan kepada percakapan anak-anak.

Bersyukurlah kerana kita dapat bersama-sama anak-anak ketika mereka dalam tempoh membesar, kita dapat melihat perkembangan mereka setiap hari, suatu hari nanti kita dapat berkongsi pengalaman tersebut dengan mereka.

Bersyukurlah juga kerana dapat memantau sendiri sikap dan adab anak-anak kita, moga mereka dapat membesar dengan akhlak yang mulia, yang makin dilupakan dalam masyarakat kita hari ini.

Jadi, 24 jam bukanlah waktu yang lama untuk kita peruntukkan bagi insan yang tersayang, moga ia menjadi tali pengikat ketika kita tua nanti.

Moga Allah merapatkan hati-hati ahli keluarga kita serta mewujudkan perasaan mawaddah, rahmah dan sakinah sesama ahli keluarga kita. Amiin.

 

Comments

  1. Bahagianya kalau dapat jadi surirumah macam puan...Saya sehingga sekarang pun masih rasa terkilan kerana terpaksa meninggalkan anak dengan pengasuh (umur 3 tahun). InsyaAllah berazam untuk jadi WAHM dalam masa 2 tahun ni...

    ReplyDelete
  2. saya seorang surirumah namun sedih hati ni bila insan2 terdekat selalu memperlekeh2kan tugas saya sebagai surirumah :(

    ReplyDelete
  3. Terima kasih kerana berkongsi idea.Saya bakal menjadi surirumah sepenuh masa.Adakalanya saya bimbang, bolehkah saya menjadi isteri&ibu yang sempurna?Saya terpaksa meninggalkan kerjaya demi anak-anak yang masih kecil & sering sakit.Akhirnya,saya telah memilih untuk mengorbankan kerjaya saya untuk permata hati saya.Sila beri tunjuk ajar kerana saya merasakan kerjaya surirumah adalah lebih mencabar daripada kerjaya diluar sana.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih krn berkongsi article ni..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat

Alhamdulillah hari ini saya ingin berkongsi kegembiraan kerana telah berjaya menyelesaikan masalah utama di dapur tanpa bantuan orang lain. Memandangkan kami tinggal di apartment yang disediakan oleh majikan suami di sini, jadi kami tidak banyak pilihan. Redha dan bersyukur dengan apa yang ada meskipun kadang-kadang rasa sakit hati bila pelbagai masalah timbul. Alhamdulillah pihak pengurusan bangunan menyediakan perkhidmatan baikpulih secara percuma tetapi agak sukar untuk mendapatkan khidmat pekerja tersebut mengikut masa luang kami.Selalunya pekerja akan datang pada waktu pagi, saya akan mendiamkan diri, tidak berani membuka pintu kerana tinggal bersendirian.Apabila menghadapi masalah sinki tersumbat pula terpaksa tunggu berhari-hari untuk mendapat waktu yang sesuai ketika suami berada dirumah. Ketika itulah pekerja India akan datang membaiki apa-apa yang perlu dibaiki.Setelah beberapa kali menghadapi masalah yang sama; kebiasaannya saya akan cuba membaiki sendiri serta mengorek pai…

Bergaya didalam Rumah

Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana kita masih mampu bernafas serta melakukan aktiviti sehari-hari.

Bila melayari internet terdapat pelbagai website yang mempromosi jualan pakaian wanita. Pelbagai corak dan warna disediakan untuk kita tampil bergaya diluar rumah agar nampak cantik pada pandangan masyarakat.

Apakah pula penampilan kita semasa dirumah? Apakah secantik penampilan diluar atau ala kadar? Kadang-kadang kita terlalu ingin orang luar tertarik dengan gaya dan fesyen pakaian kita, sehingga melupakan insan terdekat dengan kita.

Sepanjang bergaul dengan wanita Arab, saya melihat satu perbezaan ketara dengan cara kita. Bila diluar rumah, mereka cuma memakai abaya hitam dan tudung hitam tetapi bila berada dirumah mereka begitu bergaya, mengenakan pelbagai jenis pakaian yang cantik.

Alhamdulillah masih begitu ramai yang mempraktikkan cara terbaik untuk wanita berpakaian. Ketika berada dirumah, wanita bebas memakai apa saja menurut keinginan hati mereka, tanpa perlu memikirkan …

Petua Hilangkan Bau Dapur

Alhamdulillah akhirnya saya bertemu beberapa petua untuk dikongsikan bersama-sama ketika berada didapur. Alkisahnya seorang kawan menghadiahkan beberapa jenis ikan kering yang dibawa dari Malaysia. Memandangkan telah begitu lama tidak memakannya, saya cuba menggorengnya. Sayang sekali bau ikan kering memenuhi setiap ruang dirumah saya hinggakan anak-anak dan suami bertanya apakah bau tersebut. Sememangnya saya sudah sebati dengan bau tersebut sejak kecil lagi, tetapi ahli rumah ini tidak sanggup menyedut atau menghidu bau tersebut. Jadi saya terpaksa mencari serta mencuba beberapa petua untuk mengembalikan bau enak untuk ruangan dirumah saya. Diantara cara mudah yang saya amalkan ialah membersihkan lantai dapur dengan menggunakan cuka makan. Caranya ialah dengan mencampurkan secawan cuka makan kedalam air, dan siram ke lantai dapur dan mana-mana ruang yang ingin dineutralkan baunya. Pada mulanya bau cuka makan akan memenuhi ruang tersebut, namun akhirnya ia akan hilang bersama-sama de…