Kembali Bekerja....

Dah dua hari berturut-turut bertemu dengan rakan yang akan balik bekerja di Malaysia semula meninggalkan suami sendirian disini, terfikir juga apakah maksud pertemuan ini? Apakah saya juga akan kembali bekerja diluar rumah?

Kami juga sudah beberapa tahun berbincang tentang kembali menetap di Malaysia, tetapi masih juga disini. Banyak perkara yang perlu diambilkira jika memilih untuk kembali menetap ditanahair.

Bagi saya, bila kita kembali bekerja diluar bermakna segala urusan rumahtangga akan terletak ditangan kita seorang, bila ditambah dengan urusan anak-anak, banyaklah perkara yang perlu kita uruskan. 

Apakah berbaloi dengan pendapatan yang diterima?  
Ramai yang memikirkan kesenangan masa hadapan, tidak mengapa kita berkorban sekarang asalkan senang pada masa akan datang. Betulkah kita akan berbahagia pada masa akan datang? Ataupun kita akan terus mengulangi cerita-cerita yang sama.

Tidak ramai yang mengira sebanyak manakah pendapatan lebih yang ingin diperolehi, berbanding ketenangan mengurus keluarga. Sudahnya untung yang diraih ketika ini terpaksa dibayar dengan tekanan, yang akhirnya keluarga kita juga yang rugi.

Bagi saya apa yang perlu kita hadapi ialah realiti masa kini, biarlah perjalanan hidup kita manis setiap masa. Bak kata seorang kakak disini: "terimalah peluang kita berada dirumah ketika ini, ikhlaslah mendidik anak-anak, kerana kita tidak tahu bilakah kita akan sibuk semula. Bila kita mula sibuk anak-anak juga yang menjadi mangsa."

Senangkah nak menguruskan anak-anak seorang diri?

Itulah pengalaman yang amat sukar dilupakan dan tidak ingin saya kenang kembali. Pengalaman bekerja, dan menguruskan anak-anak kecil seorang diri, disamping membuat pembetulan tesis amat berat bagi saya.

Pengalaman menguruskan empat orang anak kecil sendirian suatu ketika dulu, amat berat bagi saya. Walaupun bersedia awal, akhirnya sampai ke tempat kerja beberapa minit sebelum waktu mengajar akan bermula.

Saya terpaksa memilih sama ada menghantar anak-anak kecil dahulu ataupun meninggalkan dua orang yang lebih besar di pejabat saya sebelum mula mengajar.

Ada kalanya saya terpaksa membiarkan dua orang anak yang kecil ketika itu bermain sendirian diluar kelas kerana tidak sempat menghantarkan ke nursery sebelum kuliah dimulakan. Apabila selesai kuliah bergegas menghantar mereka ke nursery, kemudian bersedia untuk kuliah seterusnya sejam kemudian.  

Kadang-kadang terfikir buruk sangatkah pengurusan masa saya ketika itu? Namun itulah pengalaman yang menuntut kesabaran yang amat tinggi.

Malah kenangan itu jugalah yang menghalang saya daripada memilih untuk berjauhan dengan suami sekali lagi. Biarlah saya tidak memperolehi pendapatan seperti dulu asalkan hati tenang dan anak-anak lebih ceria.

Apa yang penting saya sentiasa yakin bahawa Allah swt telah menetapkan rezeki buat kami sekeluarga, jika saya rugi hari ini, tidak mustahil DIA akan menggandakannya suatu ketika nanti.

Moga Allah swt memberikan Rahmat buat kita, untuk menabur bakti kepada keluarga tercinta...Amin.

Comments

  1. InsyaAllah kak...rezeki Allah ada dimana-mana.Menjadi surirumah menjaga anak-anak pun memang mnjadi tuntutan di dalam Islam.Maknanya, Allah dah menyediakan suatu ganjaran untuk surirumah ni.Pendapat sy yg tak seberapa.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat