Bila Anak Sakit...

Alhamdulillah, hari ini terasa nak berkongsi sedikit pengalaman tentang penjagaan kesihatan anak-anak. Ini kerana sudah dua hari berturut-turut saya bersembang dengan rakan-rakan tentang batuk dan demam anak-anak.

Bukan mudah nak menghadapi keadaan anak-anak yang asyik demam, batuk dan selsema. Itulah masalah utama yang pernah saya alami dalam menjaga empat orang anak kecil suatu ketika dulu. Tapi itulah kenangan yang banyak mengajar saya dalam perjalanan hidup ini.

Bila anak-anak sakit, kita juga seolah-olah sakit, segala kerja lain tergendala, tumpuan perlu diberikan sepenuhnya kepada anak-anak. Itulah yang dikatakan ujian...Allah hanya menguji hamba-Nya yang mampu menghadapinya.

Kadang-kadang anak sakit bersambung-sambung, lepas seorang seorang lagi sakit, jadi masa yang perlu diperuntukkan disitu juga panjang. Ada juga ketikanya mereka sakit serentak, ketika ini hanya kekuatan yang membantu ibu dan ayah menguruskan anak-anak yang semua inginkan perhatian.

Alhamdulillah semenjak saya berada dirumah, kekerapan anak-anak demam dan batuk semakin berkurangan hinggakan anak yang ketiga berkata: "saya tak pernah dapat peluang untuk cuti sekolah (cuti sakit), setiap tahun saya tak pernah cuti." Alhamdulillah 'ala kulli hal.

Apa yang selalu saya kongsikan dengan rakan-rakan disini ialah, sebagai ibu, carilah satu ubat yang dapat membantu anak-anak kita kekal sihat tanpa terlalu bergantung kepada ubat-ubatan hospital. Bahan-bahannya berbeza bergantung kepada pengalaman kita menggunakannya.

Ada kawan di sini, orang Mesir, menggunakan halba yang direbus sebagai minuman harian untuk anak-anak beliau, menggantikan minuman lain. Alhamdulillah anak-anak beliau cergas  dan ceria selalu. Memanglah halba mempunyai pelbagai khasiat yang baik untuk tubuh kita.

Saya pula lebih selesa mengikut pilihan anak-anak setiap kali mereka demam atau batuk, selain amalan biasa menyapu minyak habbatussauda dan minyak zaitun ketubuh mereka, serta pakaikan stokin setiap masa hinggalah demam atau batuk tersebut hilang.

Anak kedua saya memilih madu yang dicampur air sebagai minuman dan ubat setiap kali dia sakit (selalunya satu hari setiap satu semester persekolahan), manakala yang lain-lain agak jarang sakit. Anak yang paling kecil suka mencuba, kadang-kadang dia meminum madu, jus timun, halba dan lain-lain. Alhamdulillah 'ala kulli hal.

Amalan meminum jus timun juga dapat membantu membersihkan tubuh daripada toksin dan bahan-bahan atom berat dalam tubuh kita, caranya ialah blender timun batang, campurkan sedikit gula dan ais, kemudian diminum, insya Allah tubuh kita akan lebih sihat dan cergas.
Mengikut pengalaman ibu saya, beliau suka menggunakan 'daun ketumbit', yang tumbuh meliar didalam kebun sebagai ubat yang disapu ke perut kanak-kanak setiap kali adik-adik saya sakit.

Jadi sebagai ibu yang mempunyai anak-anak kecil yang selalu sakit, cubalah amalkan petua dan tradisi yang ada disekitar kita. Kadang-kadang kita tidak menyedari bahawa ubatnya berada terlalu dekat dengan kita, mudah didapati serta tidak perlu dibayar.

Moga Allah memudahkan kita mengurus keluarga dan anak-anak kita, merahmati ahli kelurga kita, dan memberikan kesihatan yang berpanjangan. Amin.

Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Bila Berbakat...Kembangkanlah...