Banyaknya Tugas Wanita...

Beberapa hari ni saya asyik terbaca tentang betapa banyaknya tugas wanita. Memang jika nak dihitung tugas kita boleh mengalahkan tugas lelaki, malah suami saya sendiri mengakui betapa banyaknya tugas saya walaupun hanya berada dirumah.

Bila bercerita dengan anak perempuan saya, saya berkata: "orang perempuan ni jika sakit sekalipun boleh lagi menangguhkan rasa sakit tersebut, demi menunaikan urusan keluarga tercinta".

Namun begitu tugasan utama wanita ialah "membina generasi baru dan penunjuk arah kepada generasi muda". Yang terpenting ialah menyebarkan kebaikan dan menanam akhlak-akhlak yang mulia dalam diri setiap pemuda. 

Itulah tugas MENDIDIK...memang betul sekiranya wanita betul-betul memainkan tugas utama tersebut, masyarakat yang terhasil akan memiliki akhlak yang unggul.

"...wanita adalah ketua dalam pengurusan rumahtangga..."
Sama ada kita yakin atau tidak, sesungguhnya tugas mengurus yang dilakukan oleh seorang wanita adalah sangat banyak, kita bagaikan CEO sebuah syarikat.

Jika wanita tersebut pandai memainkan peranan, tugas mereka akan berkembang lebih luas meliputi keluarga sendiri dan keluarga suami. Saya selalu bayangkan betapa seronoknya jika wanita betul-betul mengambiltahu tugas-tugas mereka yang sebenarnya dan cuba melaksanakannya sebaik mungkin.

Sebenarnya wanitalah yang menguruskan institusi-institusi dalam masyarakat. Ini kerana masyarakat bermula daripada sebuah keluarga, dan pengurusan keluarga bermula dengan wanita.

Jadi benarlah anjuran Rasulullah SAW agar lelaki memilih "wanita-wanita beriman sebagai pasangan hidup". Ini kerana wanita yang beriman tahu batas-batas kehidupan keluarganya, mereka juga tahu apa tugas dan tanggungjawab mereka. 

Di antara tugas-tugas wanita ialah sebagai Pengurus rumahtangga, iaitu
- memastikan pendidikan anak-anak terurus dengan baik. 
- memastikan urusan pemakanan keluarga sama ada membeli, menyimpan, memasak.
- memastikan urusan kebersihan rumahtangga dan menyusunatur perabut.
- menjaga kesihatan ahli keluarga sama ada fizikal, mental, emosi ataupun rohani.
- memastikan urusan pakaian keluarga, membersih, menyimpan dan membeli pakaian baru bagi ahli keluarga.
- memastikan kerjasama dalam keluarga berjalan dengan baik.
- mewujudkan suasana tenang dan ceria dalam diri setiap ahli keluarga.

Wanita juga adalah ahli psikologi keluarga sama ada untuk golongan muda muda ataupun tua. Ini kerana urusan psikologi adalah amat penting untuk kelangsungan sesebuah masyarakat.

Jika masalah psikologi dapat diuruskan pada peringkat keluarga, banyak masalah sosial akan dapat diatasi. Wanita mampu memahami masalah yang dihadapi oleh ahli keluarga sendiri serta dapat mengatasinya dengan sikap penyayang beliau.

Mengurus ekonomi keluarga, di mana beliaulah perancang budget keluarga sebaik mungkin. Keupayaan mengurus ekonomi keluarga memerlukan wanita-wanita yang bijaksana dalam berbelanja, berfikiran luas serta mempunyai sumber maklumat tentang peluang-peluang pelaburan untuk jangka pendek dan jangka panjang. Pendek kata, wanitalah pengurus ekonomi keluarga. 

Sesungguhnya wanita adalah sumber keseimbangan dan keharmonian keluarga, jika wanita tersebut tenang dan terurus, keluarga beliau juga akan tersusun dan teratur. Begitu juga jika wanita tersebut tidak tahu mengurus, hancurlah keluarga mereka. 

Ini boleh kita dapati daripada pengalaman-pengalaman lelaki yang bekerja keras jauh dari tanahair, kemudian mengirim wang untuk keluarga tercinta. Bayangkan berapa ramai lelaki yang terpaksa hidup dalam kesusahan bila  balik ke negara sendiri serta mendapati dia tidak memiliki apa-apa. Ini kerana si isteri tidak pandai mengurus wang yang dikirimkan setiap bulan, serta menghabiskannya untuk kemewahan yang sementara.

Begitu juga dalam mendidik anak-anak, kita memerlukan keupayaan mental yang tinggi. Jika wanita tersebut memiliki nilai diri yang tinggi, dia akan mampu menunaikan tugas mendidik dengan baik, begitu juga sebaliknya akan berlaku.

Betullah kata-kata syair Arab yang bermaksud: "Ibu adalah sekolah, jika kamu menyediakan mereka baik-baik, mereka akan mampu menyediakan satu masyarakat yang bertamadun".

Jadi tugas mengurus yang dilakukan oleh seorang wanita adalah amat banyak, sama ada beliau melakukannya sendiri ataupun mendapat khidmat bantuan orang lain, itu terpulang kepada kemampuan keluarga. Yang nyata mereka mestilah mengambiltahu apa yang berlaku dalam keluarga mereka, agar kehidupan keluarga aman dan harmoni.

Kesemua ini akan mampu diperolehi jika sesebuah keluarga mempunyai pengurus daripada wanita-wanita yang beriman, bijak dan terpelajar. Sama-samalah kita mengurus keluarga kita untuk mencapai keredhaan Allah swt.

Comments

  1. MasyaAllah...tengah berusaha menjadi ibu yg terbaik utk anak-anak..maknanya lagi dan lagi terbaik..semoga usaha kita di berkati...

    ReplyDelete
  2. masih lg belajar mjadi seorang surirumah cemerlang...insyaallah hasil usaha ada balasan baik utk kita sume

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Bila Berbakat...Kembangkanlah...