Kejayaan Surirumah

Alhamdulillah, baru sekejap sempat bersembang dengan jiran seorang surirumah Sudan tentang tugas surirumah. Inilah peluang mendengar pengalaman orang lain yang lebih berusia dan telah mempunyai menantu, atau dalam kata lain 'lebih lama makan garam' daripada saya.

Seronok bila mendengar cerita-cerita mereka sepanjang mendidik anak-anak. Memang tugas mendidik akan berkurangan bila anak-anak sudah besar, tapi masih banyak urusan anak-anak yang perlu difikirkan.

Biasanya bila anak-anak sudah besar dan berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, orang akan menganggap ibubapa tersebut telah berjaya mendidik anak-anak mereka. Ini kerana kita menganggap tugas ibubapa tersebut telah selesai bila anak-anak telah bekerja dan berkahwin.

Apakah betul tanggapan tersebut? Apakah kejayaan kita menempatkan anak-anak kita belajar di universiti, kejayaan mereka mendapat pekerjaan yang hebat itulah petanda kejayaan ibubapa?

Itulah tafsiran kejayaan mendidik dalam dunia sekarang. Di mana-mana saja orang menganggap bila seseorang anak telah berjaya dalam pelajaran, itulah kejayaan sebenar.

Bagi saya ia hanyalah permulaan kejayaan kita mendidik anak-anak, ini kerana masih terlalu banyak ujian yang akan dihadapi oleh anak-anak kita. Kejayaan yang sebenar ialah jika anak-anak kita mampu melepasi setiap ujian yang mereka hadapi dengan tabah serta tidak putus asa.

Berbalik kepada tugas surirumah, sememangnya bila kita menumpukan perhatian sepenuhnya kepada anak-anak, mereka akan mampu berjaya dalam hidup mereka.

Teringat kata-kata beliau: "Kegembiraan kita adalah apabila melihat anak-anak berjaya dalam hidup mereka, biarpun kita tidak memiliki apa-apa sijil". Alhamdulillah, saya terasa bersyukur kerana itulah juga yang saya fikirkan.

Sesungguhnya Amanah yang kita tanggung dalam mendidik anak-anak adalah amat berat, jika kita tersilap mendidik mereka, kesilapan tersebut akan merosakkan generasi seterusnya.

Jadi kita mestilah memastikan bahawa kita berjaya membentuk sikap-sikap positif dalam diri anak-anak kita, agar suatu masa nanti sikap itulah yang akan mereka turunkan kepada generasi selepas mereka.

Moga-moga kita mampu mendidik anak-anak kita dengan sebaik-baiknya, kerana merekalah bakal pemimpin masa hadapan. Moga mereka mampu menjadi khalifah di alam ini.


Comments

  1. Salam,

    Kejayaan dalam mendidik anak bukan hanya dilihat dari sudut dunia tapi lebih kepada didikan agama dan akhlak anak.

    ReplyDelete
  2. k liza.. semoga anak-anak kita semua menerima segala yg kita berikan dan mengamalkannya, dan semoga Allah sentiasa membimbing mereka..amin

    ReplyDelete
  3. pengalaman ibubapa mertua yang terpaksa menjaga semula anak perempuan yang diceraikan suami membuka mata saya bahawa tugas mendidik anak takkan selesai sehingga mati...sebab itulah ganjaran yg diberikan allah terhadap ibubapa yg berjaya mendidik anak duniawi n ukhrawi sgt besar kernan pengorbanan yg dilakukan mereka

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Anak-anak Remaja

Rasa Rendah Diri...bagaimana nak atasi?