Betulkah Pilihanku?

Bila membaca status kawan-kawan lama di facebook, yang menceritakan tentang kesibukan bekerja dan mengurus rumahtangga, saya merasa bersyukur kerana telah mampu melepasi keadaan itu, satu situasi yang pernah saya hadapi ketika berada di Malaysia.

Sebenarnya itulah realiti kehidupan sebahagian besar wanita di Malaysia ketika ini. Namun begitu saya kagum dengan mereka kerana masih mampu menghadapi ujian tersebut dengan tabah.

Terdetik dihati, jika aku masih di Malaysiapun keadaan aku juga masih begitu, sibuk dari pagi hingga ke malam, hujung minggupun masih mengajar kerana terlalu mencintai tugas yang diamanahkan.

Seronok bila berada bersama-sama kawan dan pelajar, sedangkan bila kembali ke rumah tubuh sudah letih lesu untuk meneruskan tugas dan tanggungjawab yang hakiki.

Mungkin wanita-wanita lain tidak sepertiku, mereka begitu kuat dan mempunyai pengurusan masa yang terancang. Itulah bisikan hatiku, sekadar menguatkan diri.

Alhamdulillah, penghijrahan tanpa dirancang ini berjaya menyedarkan saya betapa pentingnya wanita memuhasabah diri, melihat kembali apa sebenarnya yang ingin dicapai dalam hidup ini.

Kadang-kadang kita mengeluh, merungut dan sedih kerana sebenarnya kita berada dalam bayang-bayang. Kita inginkan kejayaan diri, merebut semua yang ditawarkan dalam kehidupan ini. Dalam masa yang sama kita perlu meyeimbangkan keperluan suami dan anak-anak, yang mana selalu dilakukan ala kadar.

Kalau tak sempat masak...ala tak apa kedai makan ada. Kemudian bila umur sudah masuk angka 4 dihadapan, ramailah yang terpaksa mengunjungi hospital dengan pelbagai penyakit. Moga Allah menyelamatkan kita semua daripada tipudaya dunia ini.

Walaupun berada di rumah, saya masih terfikir "betulkah pilihanku ini?" Mungkin ia adalah persoalan yang sama dengan wanita-wanita lain yang berada dirumah.

Kita berfikir begitu kerana kita sentiasa melihat dan mendengar kejayaan kawan-kawan lain, sedangkan kita hanya berada dirumah, tiada tawaran kenaikan pangkat sebagaimana orang yang bekerja diluar rumah.

Apakah kita menyesal dengan pilihan kita? Tentu sekali tidak, kerana kita berusaha untuk menyempurnakan tugas hakiki kita sebaik mungkin. Tugas diluar adalah pilihan seterusnya setelah berjaya meneguhkan tugas utama ini.

Inilah pandangan saya, yang sentiasa melihat bahawa tugas utama wanita adalah mendidik diri dan keluarga untuk menjadi muslim sejati. Bukan senang untuk mendidik diri menerima suami seada beliau, kerana beliau datang daripada latar belakang yang berbeza daripada kita.

Kadang-kadang kita belum sempat mengenali suami dengan sebaik-baiknya Allah telah kurniakan zuriat buat kita, maka kita sibuk pula dengan anak-anak.

Apakah kita memperuntukkan masa untuk benar-benar memahami hati seorang suami? Apakah kita menpunyai masa untuk mendengar apakah sebenarnya yang suami kita inginkan?

Kadang-kadang kita berbincang dengan suami dalam keadaan hati yang tidak tenang, letih dan stress urusan kerja diluar. Maka lain yang diucapkan lain pula fahaman kita, sedangkan jika dibincangkan dalam keadaan tenang ia adalah satu kemanisan buat pasangan tersebut.

Jadi betulkah pilihan ku untuk berada dirumah? Sama-samalah kita muhasabah diri agar pilihan ini merupakan pilihan yang betul buat kita, jangan pula kita menyesalinya kemudian hari.





Comments

  1. artikel yg menarik...time kasih :)

    ReplyDelete
  2. artikel puan banyak menyentuh diri saya...byk yg sama saya alami. Syukur pd Allah krn dipertemukan dgn puan walau sekadar di alam maya. Alhmdulillah. Didoakan moga puan terus berjaya di 'sini' & di'sana'.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat