Menyemai Minat Suka Membaca

Alhamdulillah anak-anak semakin minat membaca, walaupun kami tidak pernah menyuruh atau memaksa mereka membaca. Mungkin minat tersebut timbul perlahan-lahan kerana mereka sentiasa melihat kami membaca buku.

Bila melihat anak-anak makin berminat untuk membaca buku, maka kami mulakan dengan membeli bahan bacaan ringan seperti majalah majid, buku-buku cerita khayalan serta beberapa jenis buku lain.

Kadang-kadang terasa bersalah kerana memberi mereka peluang membaca cerita-cerita khayalan, tapi berdasarkan pengalaman lalu dimana kami hanya menyediakan set buku-buku cerita Nabi Muhammad saw sahaja di rumah, tidak ada seorangpun yang membacanya.

Alhamdulillah semasa pameran buku antarabangsa yang lalu kami memberi peluang untuk mereka memilih buku mengikut citarasa sendiri. Hasilnya mereka membaca buku-buku pilihan mereka termasuklah ensaiklopedia tentang haiwan.

Mulai bulan ini anak-anak semakin berminat untuk membaca buku-buku lain, malah mula bertanya tentang buku-buku cerita tentang Nabi. Alhamdulillah.

Ketika ini saya mula berfikir bahawa kadang-kadang kita terlalu menekan anak-anak, dengan mengharapkan mereka menjadi anak-anak sebagaimana yang kita inginkan, tanpa memberi peluang untuk mereka meneroka kehebatan dalam diri mereka.

Teringat pertanyaan seorang jiran ketika kami pulang daripada pameran buku tersebut, apakah buku-buku yang kami belikan untuk anak-anak? Saya menunjukkan buku-buku pilihan mereka, termasuklah beberapa set buku cerita pendek yang semuanya dalam bahasa Arab.

Memang pilihan tersebut tidak sesuai dengan status kami, tapi untuk menyemai minat suka membaca, saya rasa ia adalah pilihan terbaik buat anak-anak saya.

Alhamdulillah setiap hari kesemua anak-anak membaca buku, terutama ketika bersedia untuk tidur. Ketika itulah sesi membaca dan bercerita tentang bahan bacaan masing-masing dijalankan.

Sebenarnya bila kita membuka peluang, mereka juga akan tahu memilih. Inilah yang sepatutnya kita semai dalam diri anak-anak kita. Insya Allah suatu hari anak-anak kita akan termasuk ke dalam golongan orang yang suka membaca, serta mempelbagaikan bahan bacaan mereka.

Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat