Posts

Showing posts from 2010

Macam-macam Rasa...

Bila melihat blog ini, timbul berbagai-bagai perasaan, apakah ingin diteruskan ataupun membiarkan ia tersadai? Bila menyorot kembali niat ketika ia dimulakan, terasa sayang untuk membiarkan ia terus sunyi tanpa pos-pos yang bernas, tapi.... Apakah saya mampu memberikan motivasi kepada insan-insan yang sama memilih status ini? Apakah perkongsian disini mampu menaikkan semangat diri sendiri yang selalu turun-naik, agar terus kuat? Moga kedatangan tahun baru ini menaikkan semangat saya untuk terus menulis disini, serta berkongsi suka-duka hidup surirumah diperantauan. Moga Allah memberi kekuatan kepada semua Surirumah dalam mengharungi hidup di Tahun Baru. Percayalah setiap detik yang kita lalui begitu bermakna buat kita suatu hari nanti, jadi kuatkanlah semangat untuk menjadikannya begitu manis untuk dikenang dan dikongsikan bersama-sama insan tersayang. Allahumma yassir umurana...

Shout Box

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat di alam maya yang telah meninggalkan mesej di shout box saya disini. Terimakasih juga atas kesudian melawat dan membaca tulisan di blog kedua ini. Saya amat menghargainya, cuma sayangnya saya tidak boleh menjawab ucapan-ucapan tersebut, entah kenapa lah saya tidak boleh menulis apa-apa disitu, entah apa silapnya. Moga Allah merapatkan hati-hati kita walaupun kita cuma berkenalan di alam maya.  Jazakallahu khairan...

Bila Anak Sakit...

Alhamdulillah, hari ini terasa nak berkongsi sedikit pengalaman tentang penjagaan kesihatan anak-anak. Ini kerana sudah dua hari berturut-turut saya bersembang dengan rakan-rakan tentang batuk dan demam anak-anak. Bukan mudah nak menghadapi keadaan anak-anak yang asyik demam, batuk dan selsema. Itulah masalah utama yang pernah saya alami dalam menjaga empat orang anak kecil suatu ketika dulu. Tapi itulah kenangan yang banyak mengajar saya dalam perjalanan hidup ini. Bila anak-anak sakit, kita juga seolah-olah sakit, segala kerja lain tergendala, tumpuan perlu diberikan sepenuhnya kepada anak-anak. Itulah yang dikatakan ujian...Allah hanya menguji hamba-Nya yang mampu menghadapinya. Kadang-kadang anak sakit bersambung-sambung, lepas seorang seorang lagi sakit, jadi masa yang perlu diperuntukkan disitu juga panjang. Ada juga ketikanya mereka sakit serentak, ketika ini hanya kekuatan yang membantu ibu dan ayah menguruskan anak-anak yang semua inginkan perhatian. Alhamdulillah semenjak

Kembali Bekerja....

Dah dua hari berturut-turut bertemu dengan rakan yang akan balik bekerja di Malaysia semula meninggalkan suami sendirian disini, terfikir juga apakah maksud pertemuan ini? Apakah saya juga akan kembali bekerja diluar rumah? Kami juga sudah beberapa tahun berbincang tentang kembali menetap di Malaysia, tetapi masih juga disini. Banyak perkara yang perlu diambilkira jika memilih untuk kembali menetap ditanahair. Bagi saya, bila kita kembali bekerja diluar bermakna segala urusan rumahtangga akan terletak ditangan kita seorang, bila ditambah dengan urusan anak-anak, banyaklah perkara yang perlu kita uruskan.  Apakah berbaloi dengan pendapatan yang diterima?   Ramai yang memikirkan kesenangan masa hadapan, tidak mengapa kita berkorban sekarang asalkan senang pada masa akan datang. Betulkah kita akan berbahagia pada masa akan datang? Ataupun kita akan terus mengulangi cerita-cerita yang sama. Tidak ramai yang mengira sebanyak manakah pendapatan lebih yang ingin diperolehi, berbanding ket

Cerita Lepas Raya...

Hari ini kita sudah berada dipenghujung Syawal 1431H, rupa-rupanya sudah sebulan lebih saya tidak menulis apa-apa disini. Moga selepas ini lebih bermotivasi untuk menulis disini. Bermacam-macam peristiwa telah kami dialami sepanjang bulan Syawal kali ini. Bermula dengan sambutan pagi Syawal yang agak hambar, kemudian kami isikan dengan pelbagai program yang agak menarik buat kami sekeluarga alhamdulillah. Apa yang menarik bagi anak-anak ialah peluang untuk merasa naik feri laju ke Musandam, "akhirnya tercapai juga impian nak naik kapal biru yang cantik tu", "tercapai juga impian nak melihat dalam kawasan Port Sultan Qaboos", "tercapai juga impian nak tengok dolpin", serta berbagai-bagai lagi impian. Alhamdulillah 'ala kulli hal....anak-anak memang sentiasa memasang angan-angan, selagi angan-angan tersebut tidak membawa kemudaratan biarlah mereka membesar dengan angan-angan tersebut. Alhamdulillah peluang melawat tempat-tempat baru mengajar kita ban

Sekadar Berkongsi....ikut kehendak hati.

Salam Ramadhan... Entah kenapa saya banyak bercerita tentang makanan disini, lagi-lagi pada bulan puasa sebegini. Sebenarnya saya memikirkan tentang makanan kerana pada bulan puasa sebeginilah munculnya pelbagai jenis makanan yang sedap-sedap untuk membuka selera makan kita. Kadang-kadang surirumah terpaksa memasak beberapa jenis masakan untuk memenuhi selera ahli keluarga, hinggakan ada yang memasak ikan, ayam dan daging serta dihidangkan pada satu masa. Jadi bila bercerita tentang pemilihan makanan sebegini, saya teringat beberapa jenis makanan yang tidak elok dicampurkan bersama-sama ketika makan. Ini berdasarkan buku 'tibb al-nabawi', ditambah penjelasan lain ketika belajar tentang tenaga, masa, warna dan bunyi. Sebenarnya kita amat bertuah kerana dikurniakan rezeki sehingga mampu menyediakan pelbagai jenis makanan setiap hari. Kita mampu makan apa saja makanan yang kita inginkan tanpa perlu berkira-kira seperti orang susah. Alhamdulillah. Diantara makanan yang tidak

Bila kita Membantu orang lain....

Salam Ramadhan... Bila kita membantu orang lain, Allah akan membantu kerja-kerja kita...itulah diantara kata-kata yang selalu kita dengar dimana-mana. Sememangnya itulah yang sebaik-baiknya kita lakukan, sentiasa bersedia untuk membantu insan-insan disekeliling kita. Namun begitu apabila ungkapan tersebut diluaskan lagi meliputi pendidikan anak-anak, saya jadi tertanya-tanya, betulkah apabila kita mendidik anak-anak orang lain, maka anak-anak kita juga dengan sendirinya akan terdidik? Teringat pula kisah seorang pensyarah yang sibuk dengan urusan mengajar, memberi ceramah agama serta tidak sempat meluangkan masa untuk mendidik anak-anak sendiri, akhirnya anak-anak beliau menjadi mangsa. Apakah dalam kes beliau yang ikhlas mendidik anak-anak orang lain, Allah tidak membantu mendidik anak-anak beliau? Ataupun ungkapan tersebut yang perlu kita teliti semula? Apakah anak-anak kita akan terdidik jika kita sentiasa sibuk dengan urusan diluar? Apakah bentuk didikan yang akan diperolehi o

Masakan Ibu...

Sedapnya bila dapat memakan masakan ibu, walaupun masakan tersebut tidaklah sehebat makanan yang disediakan restoran-restoran terkemuka...masakan ibu akan sentiasa kekal dalam memori kita, tiada masakan lain sehebat masakan ibu kita. Kadang-kadang terfikir juga apa sebabnya masakan ibu itu hebat dimata anak-anak? Itulah realitinya yang selalu kita dengar dimana-mana, jarang didengar pula anak-anak yang tidak sukakan masakan ibu sendiri. Itulah hebatnya ibu dimata ahli keluarganya. Ada orang cakap masakan ibu sedap kerana itulah makanan pertama yang kita makan serta kita memakannya setiap hari. Bila bertahun-tahun memakan makanan yang sama ia akan jadi begitu sedap serta kekal dalam memori kita. Bila dihitung-hitung memang masakan ibulah yang selalu kita makan, daripada sarapan, makan tengahari, serta makan malam. Jika berkali-kali dimakan makanan dengan citarasa tersendiri, ia akan kekal dalam memori kita, dan tidak mampu dipadamkan oleh apa juga resepi hebat diluar rumah. Masakan

Kesihatan Keluarga ditangan Surirumah - 2

Sebenarnya banyak perkara yang ingin saya kongsikan tentang kesihatan keluarga ditangan kita. Diantaranya adalah: 1. pemakanan iaitu penyediaan makanan, pemilihan makanan, kuantiti makanan dan waktu makan. 2. aktiviti tubuh badan dan riadah. 3. potensi diri anak-anak. Buat kali ini saya ingin menyambung perbincangan tentang pemakanan, iaitu memilih makanan keluarga.   Diantara makanan yang amat baik untuk ahli keluarga kita ialah buah-buahan. Sebenarnya saya pernah menulis tentang kepentingan mendidik anak-anak memakan buah-buahan, kerana khasiatnya yang amat jelas, serta bermanfaat untuk tubuh.  Malah masyarakat Malaysia amat bertuah kerana memiliki pelbagai jenis buah-buahan yang baik, serta terselamat daripada penggunaan bahan-bahan kimia. Ini kerana buah-buahan dinegara kita besar dan masak tanpa perlu penjagaan rapi, juga tanpa perlu guna bahan-bahan kimia seperti buah-buahan citrus.  Yang seronoknya kita juga boleh dapatkan buah-buahan dalam harga yang amat rendah, serta bole

Memilih Makanan Keluarga

Surirumah terpelajar adalah surirumah yang bijak memilih apa yang terbaik untuk makanan keluarga mereka. Mereka lebih tahu apa yang baik untuk tubuh dan apa yang memudaratkan tubuh ahli keluarga mereka. Ini kerana mereka telah belajar bagaimana untuk mendapatkan maklumat serta menganalisanya. Surirumah terpelajar adalah berbeza daripada surirumah yang hanya mengikut apa yang diiklankan didalam mediamassa. Ini kerana banyak iklan disediakan untuk menjual barangan mereka tanpa memikirkan kesannya kepada pengguna. Ketika ini ilmu yang dimiliki surirumah membantu mereka untuk memilih apa yang baik untuk orang-orang yang mereka sayangi. Jadi dalam memilih makanan keluarga kita tidak boleh bergantung kepada iklan yang diwar-warkan diluar sana. Gunakanlah kebijaksanaan kita, sebagaimana kita bijak semasa belajar di sekolah dan universiti, kita juga bijak memilih makanan.  Gunakanlah kebijaksanaan itu untuk membantu ahli keluarga kita (suami dan anak-anak) untuk kekal sihat dan bertenaga se

Kesihatan Keluarga di tangan Surirumah- 1

Alhamdulillah kali ini kita berkongsi pendapat tentang 'kesihatan keluarga di tangan surirumah', terima kasih kepada ukhti yang memberikan idea. Moga kita dapat sama-sama fikirkan dan memberikan yang terbaik untuk keluarga kita. Pernahkah kita terfikir betapa besar jasa air tangan surirumah dalam membentuk keluarga yang sihat? Surirumah yang mengetahui tentangnya akan terasa bersalah jika menghidangkan makanan yang boleh memberikan kesan negatif kepada ahli keluarga mereka kemudian hari. Masalah kesihatan tidak akan datang serta-merta tetapi memerlukan masa bertahun-tahun, yang mana bila anak-anak kita meningkat dewasa tahap ketahanan tubuh mereka sudah lemah. Ketika itu pelbagai penyakit yang tidak diundang, akan dikesan. Puncanya dimana? Jika kita perhatikan cara ibu-ibu kita dahulu menyediakan makanan, semuanya daripada sumber yang bersih dan segar tanpa penambah perisa, tetapi makanan yang disediakan tetap mempunyai citarasa yang sedap dan hebat. Sedangkan kita hari ini

Surirumah dan Ramadhan

Alhamdulillah kita bertemu lagi Ramadhan kali ini, bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia untuk melipatgandakan ibadah dan mendidik diri menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Bila bercerita tentang Ramadhan, ia amat berkait dengan wanita khasnya surirumah. Ini kerana jadual kerja surirumah akan berubah daripada kebiasaan, daripada memasak tengahari kepada memasak tengah malam. Malah ada surirumah yang akan dibebani dengan permintaan makanan yang berbeza-beza daripada ahli keluarga. Sekiranya pada bulan biasa surirumah memasak makanan yang biasa-biasa sahaja, tetapi biasanya pada bulan Ramadhan surirumah akan menyediakan makanan luarbiasa (ye ke?) Kadang-kadang makanan yang tak pernah dimasakpun akan dicuba pada bulan ini, sekadar ingin mengubah menu makanan setiap hari. Jika tidak percaya lihatlah apa jenis makanan yang muncul di Bazaar Ramadhan dimana-mana. Sememangnya ia mampu menarik perhatian orang-orang berpuasa untuk berbelanja lebih serta makan berlebihan. Bag

Apakah masih belum Termotivasi?

Saya selalu bertanya diri sendiri, apakah aku masih belum termotivasi? Apakah cara lain yang perlu aku cari untuk mendapat motivasi? Sememangnya bila kita berada dirumah, agak sukar untuk kita kekalkan semangat juang sebagaimana yang mampu kita lakukan ketika bekerja diluar rumah. Bila kita bekerja diluar, kita akan lebih aktif dengan pelbagai keperluan dan tugas didalam dan diluar rumah, jadi setiap waktu kita terisi dengan jadual yang agak padat, hingga terkadang kita tidak sempat memanjakan diri sendiri. Namun begitu bila berada dirumah terkadang kita jadi leka dengan ketenangan yang kita perolehi, tiada lagi hambatan tugasan kerja diluar, tiada lagi insan yang akan mengarah kita untuk melakukan itu dan ini. Semuanya mesti datang dari dalam diri kita. Ya....semua tugasan yang kita lakukan dirumah mesti datang daripada keinginan diri kita...'apakah yang aku ingin buat...." bukannya 'apa yang aku mesti buat..." Jika kita masih menganggap tugasan kita dirumah ada

Detox tubuh dengan Inai

Dalam masyarakat melayu, inai dipakai dihujung jari ketika majlis perkahwinan sebagai tanda raja sehari, kemudian kita jarang menggunakannya lagi sedangkan ia mempunyai banyak manfaatnya. Ada pula yang menganggap penggunaan inai sebagai kesan daripada adat orang Hindu, malah ramai yang menganggap wanita memakai inai sebagai 'tabarruj' iaitu berhias diri. Oleh itu memakai inai kurang diamalkan dikalangan wanita melayu. Bila berada dikalangan orang-orang Sudan dan Oman, satu amalan wanita yang agak menarik ialah menggunakan inai. Wanita-wanita Sudan sentiasa memakai inai dijari tangan dan dikaki serta tapak kaki, begitu juga wanita Oman. Amalan ini diamalkan setiap ketika, lebih-lebih lagi pada perayaan tertentu.  Pada mulanya saya agak tidak selesa melihat amalan ini, tambahan lagi bila melihat inai dilukis ditapak tangan dan kaki. Akhirnya setelah mencari maklumat tentang penggunaan inai didalam sunnah, saya tidak kekok lagi untuk menggunakannya juga. Sebenarnya banyak manf

Mendidik Anak Berani

Alhamdulillah, musim cuti sekolah kali ini pelbagai program boleh dilakukan dengan anak-anak, namun begitu anak-anak saya lebih gembira bermain dalam kumpulan. Berbagai-bagai aktiviti berkumpulan yang mereka lakukan tanpa dirancang. Sebenarnya terdapat pelbagai kesan positif yang mampu mereka perolehi daripada permainan sehari-hari, walaupun kadang-kadang kita merasakan mereka membuang masa.  Ini kerana dengan bermain mereka dapat melatih diri memupuk sifat-sifat positif dalam diri mereka. Ini termasuklah bagaimana menangani perasaan marah, bagaimana melatih diri menjaga lidah, tangan dan kaki. Tanpa bermain, kita tidak dapat melihat tindakbalas yang betul daripada anak-anak kita. Begitu juga mereka berpeluang berinteraksi sesama mereka. Bagi saya berilah peluang anak-anak bermain semasa kecil, kerana ia dapat membentuk peribadi mereka sedari kecil.   Namun begitu saya masih lagi tercari-cari formula untuk meningkatkan sifat berani dikalangan anak-anak. Ini kerana apabila anak-anak

Kejayaan Surirumah

Alhamdulillah, baru sekejap sempat bersembang dengan jiran seorang surirumah Sudan tentang tugas surirumah. Inilah peluang mendengar pengalaman orang lain yang lebih berusia dan telah mempunyai menantu, atau dalam kata lain 'lebih lama makan garam' daripada saya. Seronok bila mendengar cerita-cerita mereka sepanjang mendidik anak-anak. Memang tugas mendidik akan berkurangan bila anak-anak sudah besar, tapi masih banyak urusan anak-anak yang perlu difikirkan. Biasanya bila anak-anak sudah besar dan berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, orang akan menganggap ibubapa tersebut telah berjaya mendidik anak-anak mereka. Ini kerana kita menganggap tugas ibubapa tersebut telah selesai bila anak-anak telah bekerja dan berkahwin. Apakah betul tanggapan tersebut? Apakah kejayaan kita menempatkan anak-anak kita belajar di universiti, kejayaan mereka mendapat pekerjaan yang hebat itulah petanda kejayaan ibubapa? Itulah tafsiran kejayaan mendidik dalam dunia sekarang. Di mana-mana

Banyaknya Tugas Wanita...

Beberapa hari ni saya asyik terbaca tentang betapa banyaknya tugas wanita. Memang jika nak dihitung tugas kita boleh mengalahkan tugas lelaki, malah suami saya sendiri mengakui betapa banyaknya tugas saya walaupun hanya berada dirumah. Bila bercerita dengan anak perempuan saya, saya berkata: "orang perempuan ni jika sakit sekalipun boleh lagi menangguhkan rasa sakit tersebut, demi menunaikan urusan keluarga tercinta". Namun begitu tugasan utama wanita ialah "membina generasi baru dan penunjuk arah kepada generasi muda". Yang terpenting ialah menyebarkan kebaikan dan menanam akhlak-akhlak yang mulia dalam diri setiap pemuda.  Itulah tugas MENDIDIK...memang betul sekiranya wanita betul-betul memainkan tugas utama tersebut, masyarakat yang terhasil akan memiliki akhlak yang unggul. "...wanita adalah ketua dalam pengurusan rumahtangga..." Sama ada kita yakin atau tidak, sesungguhnya tugas mengurus yang dilakukan oleh seorang wanita adalah sangat banyak, ki

Gunalah Habbatussauda'

Saya selalu bertemu para ibu yang menceritakan masalah kesihatan anak-anak mereka, terutama batuk, selsema, demam. Inilah masalah yang selalu kita hadapi terutama jika kita mempunyai anak kecil. Anak-anak kecil akan merengek, jika selsema atau demam, lebih teruk lagi tidak boleh tidur malam. Itulah pengalaman saya menjaga 4 orang anak kecil selama ini. Biasanya saya akan menyarankan mereka untuk menggunakan minyak habbatussauda' dengan pelbagai cara, dan feedbacknya selalu positif. Ini kerana sepanjang menggunakan minyak habbatussauda', masalah tersebut berjaya saya atasi, malah saya dapat mengelakkan penggunaan ubat-ubatan kimia, dan anak-anak semakin yakin untuk menggunakannya. Jika kita membaca pelbagai tulisan tentang habbatussauda, kita akan temui pelbagai cara menggunakannya. Akan tetapi apa yang selalu saya lakukan ialah menyapu minyak tersebut pada dada, perut dan tapak kaki anak serta memakaikan stokin ketika tidur. Jika teruk sangat saya akan menitiskan beberapa ti

Betulkah Pilihanku?

Bila membaca status kawan-kawan lama di facebook, yang menceritakan tentang kesibukan bekerja dan mengurus rumahtangga, saya merasa bersyukur kerana telah mampu melepasi keadaan itu, satu situasi yang pernah saya hadapi ketika berada di Malaysia. Sebenarnya itulah realiti kehidupan sebahagian besar wanita di Malaysia ketika ini. Namun begitu saya kagum dengan mereka kerana masih mampu menghadapi ujian tersebut dengan tabah. Terdetik dihati, jika aku masih di Malaysiapun keadaan aku juga masih begitu, sibuk dari pagi hingga ke malam, hujung minggupun masih mengajar kerana terlalu mencintai tugas yang diamanahkan. Seronok bila berada bersama-sama kawan dan pelajar, sedangkan bila kembali ke rumah tubuh sudah letih lesu untuk meneruskan tugas dan tanggungjawab yang hakiki. Mungkin wanita-wanita lain tidak sepertiku, mereka begitu kuat dan mempunyai pengurusan masa yang terancang. Itulah bisikan hatiku, sekadar menguatkan diri. Alhamdulillah, penghijrahan tanpa dirancang ini berjaya m

Menyemai Minat Suka Membaca

Alhamdulillah anak-anak semakin minat membaca, walaupun kami tidak pernah menyuruh atau memaksa mereka membaca. Mungkin minat tersebut timbul perlahan-lahan kerana mereka sentiasa melihat kami membaca buku. Bila melihat anak-anak makin berminat untuk membaca buku, maka kami mulakan dengan membeli bahan bacaan ringan seperti majalah majid, buku-buku cerita khayalan serta beberapa jenis buku lain. Kadang-kadang terasa bersalah kerana memberi mereka peluang membaca cerita-cerita khayalan, tapi berdasarkan pengalaman lalu dimana kami hanya menyediakan set buku-buku cerita Nabi Muhammad saw sahaja di rumah, tidak ada seorangpun yang membacanya. Alhamdulillah semasa pameran buku antarabangsa yang lalu kami memberi peluang untuk mereka memilih buku mengikut citarasa sendiri. Hasilnya mereka membaca buku-buku pilihan mereka termasuklah ensaiklopedia tentang haiwan. Mulai bulan ini anak-anak semakin berminat untuk membaca buku-buku lain, malah mula bertanya tentang buku-buku cerita tentang

Mengurus makanan...

Alhamdulillah hari ini saya ingin berkongsi tentang pengurusan makanan dirumah. Apa pula ceritanya ni? Apakah makanan pun perlu diurus? Sebenarnya mengurus makanan adalah diantara kerja surirumah yang tidak boleh dibiar begitu sahaja. Apa maksudnya mengurus makanan? Mengurus makanan bermula daripada pemilihan bahan makanan yang sesuai, membeli, menyimpan, memasak serta mengitar semula makanan. Maknanya banyak juga urusan berkaitan makanan ni. Ramai yang sukakan kesenangan dengan membeli makanan dari luar, menyediakan makanan daripada makanan sejukbeku, ataupun membeli pes-pes dan segala jenis campuran sedia ada dipasaran sebagaimana yang selalu ditunjukkan dalam iklan di Malaysia. Bila melihat segala macam makanan sedia ada terjual diluar, apa perlunya wanita mengurus makanan, beli sahaja dari luar, hati lebih senang, serta dapat gunakan masa untuk membuat kerja-kerja lain.  Tapi hati kecil wanita tetap ingin menyediakan sesuatu dari air tangan sendiri buat keluarga tercinta. Bagi

Bekerja atau Berada dirumah?

Ada seorang rakan bertanya kepada saya, mengapa saya memilih untuk berada dirumah sedangkan saya boleh memilih untuk bekerja diluar. Beliau berkata bahawa beliau teringin untuk mengetahuinya kerana beliau sendiri tidak sempat merasai pengalaman bekerja kerana berkahwin sejurus tamat belajar di universiti. Bagi saya jawapannya terpulang kepada diri masing-masing, ada orang yang berasa seronok bekerja diluar serta mampu mengurus masa dan emosi mereka dengan baik, maka baiklah untuk mereka. Manakala ada segolongan lagi wanita yang lebih memilih untuk berada dirumah, kerana sayangkan anak-anak serta sanggup berkorban demi kebaikan anak-anak. Apapun jawapannya, semuanya kembali kepada kekuatan kita serta kemampuan kita mengurus diri dan keluarga. Bagi saya masa untuk berada lama bersama anak-anak amat singkat, dan peluang tersebut tidak akan berulang lagi. Ini kerana anak-anak kita cepat membesar, bila besar mereka akan meneruskan putaran hidup mereka pula, tinggallah kita tanpa sempat m

Lagi Mengenai Bakat...

Bakat adalah sebahagian daripada diri kita, jika kita mengetahui apakah bakat kita, kemudian kita kembangkan kebolehan tersebut dengan cara terancang, insya Allah kita akan mampu mengecap kemanisan dalam hidup kita. Teringat pula kisah dokumentari tentang sepasang suami-isteri yang menghabiskan masa selama 30 tahun, mengkaji dan menyelidik tentang sebuah kapal lama yang tenggelam, hidup mereka sekeluarga dihabiskan disitu, malah anak-anak mereka membesar dalam suasana itu. Walaupun akhirnya kajian tersebut ternyata gagal kerana kapal tersebut bukanlah kapal yang mereka anggap tinggalan sejarah, tetapi hasilnya amat baik, hubungan anak-beranak amat rapat, malah anak-anak mereka menghargai segala usaha kedua ibubapa mereka, dan mereka mampu memulakan bisnes berkaitan dengan kajian tersebut. Semasa menontonnya, saya berkata pada diri: "Sesungguhnya mereka begitu yakin dengan usaha yang mereka lakukan, tidak jemu melakukan aktiviti yang sama selama 30 tahun, akhirnya mereka berjaya

Apa Bakat Saya?

Semasa pulang ke Malaysia tahun lepas, saya sempat membaca buku 'Apa Bakat Saya?" terbitan PTS. Namun begitu saya terlupa dimana saya letakkan buku tersebut, semestinya berada dikampung bersama-sama barangan lain yang saya tinggalkan. Apakah tujuan saya membaca buku tersebut ketika umur sudah mencecah 40 tahun? Apakah saya memerlukan motivasi daripada buku tersebut? Sebenarnya saya ingin memahami apakah pendapat penulis mengenai "bakat", lebih-lebih lagi saya ingin mencungkil bakat anak-anak. Biarlah mereka hidup dengan bakat mereka, agar mereka lebih berjaya dalam hidup mereka. Mengikut sistem pembelajaran disini, guru-guru suka mencungkil bakat pelajar, kemudian mereka diajar bagaimana untuk mengembangkan kebolehan tersebut. Alhamdulillah bakat anak-anak saya yang dikenalpasti oleh guru-guru sama dengan bakat yang kami telah kenalpasti dan kembangkan setakat ini. Mungkin saya kurang mengambilberat tentang bakat diri sendiri, disebabkan kesibukan mengejar ilmu,

Cantikkah kita?

Apakah kecantikan sejati? Hari ini ramai yang bercerita tentang kecantikan, malah di negara-negara Arab pembedahan kecantikan tersebar luas, malah di Iran pembedahan hidung dilakukan secara berleluasa kerana kos yang lebih murah. Wanita tidak lagi segan silu melakukan pembedahan sebegini semata-mata untuk menjadi cantik, sedangkan bagi kita rupa paras orang Arab sudah amat cantik, tidak perlu diubah lagi. Dalam satu forum di TV Saudi, wanita-wanita yang ditemuramah memberitahu bahawa sebab utama wanita melakukan pembedahan kecantikan kerana terpengaruh dengan pelbagai iklan yang disiarkan disana-sini.  Dalam masyarakat kita pula disana sini wanita bercerita tentang 'maintain' tubuh badan. Alhamdulillah daripada muda hingga umur mencecah 40-an masih tidak berubah penampilan diri. Inilah dunia wanita, kecantikan luaran amat penting hinggakan melakukan perbuatan yang dilarang dalam agama kita. Bila membaca majalah-majalah wanita, ruangan kecantikan dan mekap adalah ruangan ya

Belajar dari Kesilapan Orang lain

Dalam hidup ini kita bukannya mampu hidup lama untuk belajar semuanya daripada kesilapan kita sendiri. Oleh itu kita hendaklah belajar daripada kesilapan orang lain, jadikan ia pedoman untuk kita. Bila menyentuh tentang hidup berkeluarga, semua insan inginkan kehidupan yang bahagia hingga ke akhir hayat. Jalan untuk mencapai kebahagiaan tersebut bukan semudah yang disebut, terdapat pelbagai liku yang harus ditempuhi, malah ia memerlukan pengorbanan daripada semua ahli keluarga. Ada yang terlalu asyik dengan fikiran sendiri, hingga terkadang melukakan hati dan perasaan ahli keluarga yang lain. Bayangkan seorang anak yang terlalu mabuk cinta, sehingga melupakan tentang hati dan perasaan ibubapa. Ketika itu ibubapa terpaksa mengorbankan hati dan perasaan hanya untuk memenuhi keinginan anak tersebut. Apapun nasihat tidak akan didengari, keinginan hati itulah yang dituruti. Bayangkan pula suasana ketika seorang isteri mengambil tindakan untuk berpisah dengan suami. Ketika itu dia lupaka