Lagi Mengenai Bakat...

Bakat adalah sebahagian daripada diri kita, jika kita mengetahui apakah bakat kita, kemudian kita kembangkan kebolehan tersebut dengan cara terancang, insya Allah kita akan mampu mengecap kemanisan dalam hidup kita.

Teringat pula kisah dokumentari tentang sepasang suami-isteri yang menghabiskan masa selama 30 tahun, mengkaji dan menyelidik tentang sebuah kapal lama yang tenggelam, hidup mereka sekeluarga dihabiskan disitu, malah anak-anak mereka membesar dalam suasana itu.

Walaupun akhirnya kajian tersebut ternyata gagal kerana kapal tersebut bukanlah kapal yang mereka anggap tinggalan sejarah, tetapi hasilnya amat baik, hubungan anak-beranak amat rapat, malah anak-anak mereka menghargai segala usaha kedua ibubapa mereka, dan mereka mampu memulakan bisnes berkaitan dengan kajian tersebut.

Semasa menontonnya, saya berkata pada diri: "Sesungguhnya mereka begitu yakin dengan usaha yang mereka lakukan, tidak jemu melakukan aktiviti yang sama selama 30 tahun, akhirnya mereka berjaya hidup hasil keyakinan mereka, subhanallah..."

Itulah kepuasan hakiki yang mereka perolehi hasil daripada keyakinan mereka terhadap bakat yang mereka ada. Malah anak-anak juga terikut dengan usaha yang mereka lakukan tanpa paksaan.

Apakah pelajaran yang mampu saya perolehi daripada situ? Memang terlalu banyak pengajarannya buat saya yang masih lagi terkial-kial untuk menghidupkan balik kemahiran lama.

Ketika ini barulah saya terasa ruginya bila kita mengabaikan segala ilmu yang pernah kita tuntut, hanya kerana menganggap bahawa ilmu tersebut tidak mampu menjamin masa depan yang cerah.

Begitu juga kita akan merasa bahawa begitu banyak masa kita habiskan untuk melakukan kerja yang tidak bersesuaian dengan jiwa kita. Walaupun kita mampu berjaya dalam bidang baru yang kita pilih, tapi kita tidak akan mampu memenuhi keinginan hati kita dalam ertikata yang sebenarnya.

Sayangnya hari ini, tidak ramai yang mengetahui kehebatan diri masing-masing kerana terlalu sibuk dengan belajar, manakala masa yang terluang dihabiskan dihadapan televisyen, playstation ataupun komputer. Malah bidang pengajian pula dipilih berdasarkan pasaran kerja semasa.  

Teringat juga kisah seorang surirumah yang pernah saya temui pada awal tahun 2000 yang menyatakan bahawa beliau menghidap penyakit misteri, menyebabkan beliau terpaksa berhenti kerja awal. Akhirnya beliau pulih sepenuhnya daripada penyakit misteri beliau setelah memulakan perniagaan membuat kek.

Memang beliau memiliki kemahiran yang tersendiri kerana kek yang dihasilkan amat sedap dan cantik. Rupa-rupanya bakat itu terpendam, dan penyakit tersebut disebabkan oleh keinginan yang tersekat, bila dilepaskan segala keinginan tersebut hilanglah segala masalah yang dihadapi. 

Persoalan kedua pula, apakah kita cuma boleh memilih satu bakat ataupun mencuba pelbagai bakat? Inilah persoalan yang diketengahkan oleh anak kedua saya yang sangat meminati bolasepak, dalam masa yang sama guru beliau menyuruh dia mengembangkan lagi kebolehan beliau menulis khat.

Insya Allah kita sambung lagi persoalan ini dalam pos seterusnya mengenai bakat anda....Sudi-sudikanlah berkongsi pengalaman anda mengenai bakat anda.



Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat