Apakah Sarapan Kita?

Alhamdulillah kita sudah berada dalam bulan kedua, tahun hijrah dan masihi. Bagi kami disini, program harian tetap sama. Ketika hari persekolahan perkara utama ialah menyediakan persiapan anak-anak ke sekolah termasuklah sarapan dan bekal ke sekolah. Rutin tersebut selalunya berubah ketika hujung minggu. 

Alhamdulillah anak-anak saya sudah terbiasa dengan sarapan ringkas, mengikut cara ayah mereka iaitu meminum secawan susu dan sedikit roti atau biskut. Hanyalah diri ini yang masih terbawa-bawa dengan adat melayu, mesti tercari-cari nasi pada awal pagi. 

Saya terfikir juga untuk berubah, tapi belum memulakannya, iaitu mengikut cara orang-orang Arab bersarapan. Teringat ketika kami berkunjung ke Ibri, kawasan pedalaman Oman, kami disajikan dengan sarapan yang berbeza daripada cara kita bersarapan. Sarapan yang mereka sediakan untuk kami ialah roti, madu, kurma, telur rebus dan susu. Jadi pandai-pandailah kami memilih apa yang kami sukai.

Malah sepanjang hidup bersama-sama suami, saya dapati bahawa kegemaran beliau ialah bersarapan dengan buah tamar, makan roti dengan jem, keju dan buah-buahan. Sememangnya perut kita sepatutnya diisi dengan makanan manis pada awal pagi agar ia boleh berfungsi sebaiknya.

Namun begitu sudah menjadi budaya orang Melayu memakan makanan berat termasuklah protin pada awal pagi, sedangkan orang-orang Arab sentiasa mengatakan bahawa memakan protin tidak sesuai dengan perut kita pada awal pagi. Itulah yang selalu disebut oleh orang-orang Arab yang saya temui sama ada Oman, Mesir, Sudan, Jordan, Tunisia dan lain-lain lagi.

Teringat pula ilmu CVT yang dipelajari, yang mana sebaik-baik makanan pada waktu pagi ialah makanan manis dan lembut. Ini memudahkan perut kita memprosesnya setelah kosong pada waktu malam.

Alhamdulillah, ada faedahnya bila kita bergaul dengan orang luar yang menjaga pemakanan keluarga, setidak-tidaknya kita boleh bertukar-tukar ilmu dan pengalaman untuk kebaikan keluarga masing-masing. Malah bila kita mengamalkan pemakanan sebegini, kita juga lebih tenang pada waktu pagi kerana makanan tersebut dapat disediakan dengan mudah dan cepat.

Moga-moga kita tergolong ke dalam golongan surirumah yang mengambilberat tentang pemakanan keluarga kita kerana makanan itulah yang menjadi darah daging keluarga kita. Jika baik makanan yang kita sediakan, baiklah perangai dan tingkahlaku ahli keluarga kita, jika kita ambil mudah tentang pemakanan ini, kita juga yang terpaksa menanggung akibatnya.

Ini kerana penyakit bermula dengan perubahan perangai, bila ada tanda-tanda perangai negatif timbul, beringatlah, perbetulkan ia sebelum ia menjadi lebih parah.

Mengubati perangai lebih baik daripada mengubati fizikal kita, kerana ketika itu penyakit akan mengambil masa untuk sembuh, malah kita memerlukan ubat untuk mengubatinya. Sedangkan mengubati perangai tidak memerlukan ubat, ia cuma memerlukan kekuatan tekad dan azam kita untuk berubah.

Moga kita bertekad untuk berubah ke arah yang lebih baik, untuk kebaikan insan-insan yang kita sayangi.

Comments

Popular posts from this blog

Bergaya didalam Rumah

Didik Anak Tersenyum

Tip Bersihkan Sinki Tersumbat